Proses daftar masuk (check-in) bagi beberapa syarikat penerbangan sedang dilakukan secara manual, termasuk pengeluaran tiket atau pas menaiki pesawat (boarding pass), kata Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG).
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), CAG berkata: “Kami sedang memantau keadaan dengan teliti.”
“Kakitangan di Lapangan Terbang Changi sedang memberikan bantuan kepada penumpang, terutamanya mereka yang mempunyai waktu berlepas yang semakin dekat.”
CAG juga menambah mereka terpaksa membuat beberapa perubahan disebabkan oleh gangguan sistem IT sedunia yang berlaku pada 19 Julai itu.
“Kami minta maaf atas kesulitan yang terjadi,” tambah mereka.
Gangguan sistem IT ini dikatakan berkaitan dengan gangguan perkhidmatan dari penyedia perisian (software) keselamatan siber, Crowdstrike, selepas mereka mengemaskini perisian yang dijalankan secara global.
Mesin yang menggunakan sistem pengendalian Windows dengan perisian keselamatan Crowdstrike berpotensi terjejas.
Difahami, antara syarikat penerbangan yang terjejas ialah Scoot, Jetstar, AirAsia and Cebu Pacific.
Dalam satu hantaran di Facebook (FB), syarikat penerbangan SIA mengatakan bahawa perkhidmatan SIA di pusat perkhidmatan ION di Singapura dan hotline penempahan mengalami masalah teknikal akibat gangguan sistem IT sedunia.
Namun, mereka menambah bahawa penerbangan mereka tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg