Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkim pulangkan bekas minuman bermula sepenuhnya 1 Okt; proses kitar semula lancar
Pengguna turut saran bagi pertingkat skim termasuk letak mesin di lokasi lebih jelas dan pastikan ia dikosongkan secara kerap
Skim pulangkan bekas minuman bermula sepenuhnya 1 Okt; proses kitar semula lancar
Dengan kebanyakan minuman di rak kedai kini memaparkan logo dan kod bar ‘Return Right’, pelaksanaan penuh Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) pada 1 Oktober bermula dengan lebih lancar selepas banyak kali ditangguhkan.
Pemeriksaan media di kira-kira 15 mesin di seluruh Singapura pada 30 September dan 1 Oktober menunjukkan orang ramai memasukkan bekas minuman kosong dalam jumlah banyak untuk menuntut semula deposit mereka.
Suri rumah, Cik Avis Chong, 32 tahun, dilihat menggunakan sebuah mesin di Pusat Makanan MacPherson pada 1 Oktober.
Beliau memberitahu The Straits Times (ST), anak-anaknya yang masih kecil gemar minuman tin dan minuman bergas, dan beliau mengumpul bekas itu untuk dikitar semula seminggu sekali.
Menurutnya, beliau tidak menghadapi sebarang masalah dengan proses bayaran balik.
Di bawah skim itu, semua botol plastik dan tin bersaiz 150 mililiter (ml) hingga 3 liter mesti dilabel dengan tanda deposit 10 sen dan kod bar.
Pelanggan membayar tambahan 10 sen bagi setiap minuman yang dibeli di bawah skim tersebut, tetapi mendapat semula wang itu apabila memasukkan bekas terpakai ke dalam mesin yang dipanggil ‘Return Right’.
Mulai 1 Oktober, menjadi satu kesalahan bagi sesiapa sahaja, termasuk pengendali pasar raya, membekalkan minuman terkawal jika bekasnya tidak dilekatkan tanda deposit dan kod bar skim itu.
Di bawah Akta Kemampanan Sumber, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga $10,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga bulan.
Lebih 1,000 mesin mula beroperasi pada 1 April.
Namun, Agensi Sekitaran Nasional (NEA), yang mentadbir skim itu, memberi pengeluar dan peruncit tempoh enam bulan tambahan untuk menghabiskan stok lama.
Lebih banyak minuman yang mempunyai logo dan kod bar yang diperlukan itu hanya mula muncul di rak kedai menjelang akhir tempoh enam bulan itu.
Tempoh peralihan tamat pada 30 September, walaupun sesetengah peruncit kecil diberi sebulan lagi untuk menghabiskan stok minuman yang tidak mematuhi syarat.
Pengguna yang ditemu bual mencadangkan beberapa cara untuk menambah baik skim itu.
Antaranya, meletakkan mesin di lokasi lebih jelas, memastikan mesin dikosongkan dengan kerap, dan membesarkan logo.
Pesara, Encik Thomas Ng, 60 tahun, yang dilihat memulangkan bekas di mesin di Our Tampines Hub (OTH), berkata:
“Kali pertama saya datang ke sini untuk memulangkan minuman, sukar sekali mencari mesin itu kerana ia tersorok di dalam pasar raya. Sekarang pun, kadang-kadang saya terlupa di mana letaknya dan terpaksa mencarinya semula... sangat menyusahkan.”
Penyelidik makmal, Cik Ong Pei Xuan, 28 tahun, yang memulangkan bekas minumannya di sebuah mesin di luar cawangan Sheng Siong di Bedok, berkata kawasan itu kekurangan mesin.
Beliau pernah berdepan keadaan apabila mesin yang digunakannya sudah penuh, manakala mesin lain terletak terlalu jauh.
Jurutera alat hawa udara, Encik Foo Kai Teck, 58 tahun, yang dilihat menggunakan sebuah mesin di Bishan, berkata pengalamannya secara umum lancar, tetapi beliau berharap mesin itu menerima tin yang sedikit kemik.
Dalam kemas kini pada 1 Oktober, NEA berkata skim itu telah mengumpul lebih 48 juta bekas minuman setakat 27 September. Ini bermakna lebih 823 tan bahan terselamat daripada dibakar.