Pertumbuhan adalah perkataan di bibir semua orang apabila bercakap mengenai prospek Lapangan Terbang Changi pada 2025, selepas ia hampir mencapai pemulihan penuh dalam trafik penumpang pada 2024.
Setelah mengendalikan 67.7 juta penumpang pada 2024 – 99.1 peratus daripada rekod 68.3 juta yang dikendalikan pada 2019 – lapangan terbang itu bersedia meraih sebahagian besar daripada pasaran penerbangan yang semakin berkembang, kata penganalisis perusahaan kepada The Straits Times.
Ia dijangka mencapai pertumbuhan satu digit yang rendah bagi 2025.
Lapangan terbang itu dijangka dirangsang kebangkitan ekonomi di Asia-Pasifik dan rangkaian sambungan yang lebih baik, dengan pengenalan syarikat penerbangan dan laluan baru, serta peningkatan kekerapan penerbangan.
Sehingga Januari, 100 syarikat penerbangan mengendalikan lebih 7,400 penerbangan berjadual di Changi setiap minggu, menghubungkan Singapura ke 163 bandar di 49 negara dan wilayah.
Ini hampir dengan skala rangkaian lapangan terbang itu pada Januari 2020 sebelum pandemik Covid-19, apabila Singapura dihubungkan dengan lebih 170 bandar.
Matlamatnya adalah untuk mempunyai rangkaian sambungan dengan lebih 200 bandar menjelang pertengahan 2030-an.
Tetapi terdapat beberapa halangan yang boleh menimbulkan ancaman kepada status Changi sebagai hab terkemuka.
Penganalisis pelancongan, Encik Gary Bowerman, berkata pengembaraan, pelancongan dan penerbangan di Asia Tenggara dan merentasi Asia-Pasifik akan menjadi sangat bersaing pada 2025.
Margin keuntungan akan semakin sempit, dan pertarungan untuk menarik pengembara akan semakin sengit, tambah pengarah firma perunding pelancongan Check-in Asia yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu.
Ketika satu majlis makan malam pada September 2024 untuk menandakan ulang tahun ke-40 Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyebut jurang yang semakin mengecil antara Singapura dengan hab udara serantau lain, dan pelaburan besar yang dibuat untuk menambah baik dan mengembangkan lapangan terbang di negara-negara itu.
Satu laporan Centre for Aviation berkata terdapat 170 projek pembinaan yang diketahui sedang dijalankan di beberapa lapangan terbang Asia-Pasifik sedia ada, dengan jumlah nilai pelaburan AS$217 bilion ($292 bilion).
Terdapat juga 90 projek lapangan terbang baru di rantau ini, bernilai AS$121 bilion.
Encik Mayur Patel, ketua perundingan data penerbangan Asia di OAG Aviation, menjangkakan kadar pertumbuhan kira-kira 3 peratus hingga 5 peratus di Lapangan Terbang Changi pada 2025.
Ini dijangka didorong permintaan perjalanan yang kukuh di Asia Tenggara, pengembangan berterusan syarikat penerbangan tambang rendah, dan pelaburan di rantau ini untuk meningkatkan kapasiti perjalanan udara.
Penganalisis penerbangan bebas, Encik Brendan Sobie, daripada Sobie Aviation, berkata trafik penumpang Changi berkemungkinan mencecah enam juta pada Januari.
Tetapi pada pandangannya, tinjauan keseluruhan untuk 2025 adalah bercampur-campur.
Pasaran transit adalah di mana adanya peluang pertumbuhan selanjutnya pada 2025, lebih-lebih lagi apabila Kumpulan Singapore Airlines (SIA) terus menambah kapasiti, kata Encik Sobie.
Satu perkara positif ialah pertumbuhan syarikat penerbangan asing di Changi berkemungkinan berterusan pada 2025, sekurang-kurangnya untuk sesetengah pasaran.
Syarikat penerbangan utama Australia, Qantas, berkata ia akan mengendalikan lebih 3,000 penerbangan dari Changi pada 2025 – 37 peratus lebih tinggi berbanding 2019.
Tetapi Encik Sobie berkata pertumbuhan itu ada hadnya, sambil menunjukkan kelebihan kapasiti di beberapa laluan.
Encik Lim Ching Kiat, naib presiden eksekutif hab udara dan pembangunan kargo di operator Changi Airport Group (CAG), berkata tumpuan utama Changi dalam jangka pendek adalah mendapatkan semula ketersambungan di Asia Tenggara yang hilang semasa pandemik.
Pusat tumpuan perusahaan penerbangan sedang beralih ke arah Asia-Pasifik, dan lapangan terbang itu mahu memanfaatkannya, tambahnya.
Ia sedang melihat potensi hubungan udara dengan bandar-bandar seperti Jaipur dan Lucknow di India dan Dalian di China.
Dalam pasaran jarak jauh, Changi berminat berkembang di Eropah untuk mendapatkan hubungan terus dengan Warsaw, Madrid, Geneva dan Stockholm.
Walaupun trafik di hab udara lain di Asia Tenggara, seperti Bangkok dan Kuala Lumpur, masih sedikit di bawah paras 2019, jurang dengan Singapura terus mengecil, kata Encik Sobie.
Hong Kong juga tidak jauh di belakang.
Penganalisis juga menyebut mengenai kemunculan pesawat jarak jauh baru, seperti Airbus A350-1000 berbadan lebar dan A321XLR berbadan sempit, yang membolehkan lebih banyak penerbangan tanpa henti, tanpa perlu melalui hab.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg