Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Proton lancar kenderaan elektrik pertama M’sia

Dec 17, 2024 | 6:06 PM
Malaysia mempamerkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7, semasa acara pelancaran kereta itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur,  pada 16 Disember.
Malaysia mempamerkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7, semasa acara pelancaran kereta itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, pada 16 Disember. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Malaysia kini memiliki kenderaan elektrik (EV) pertama melalui inisiatif Proton Holdings Berhad (Proton) dengan pengenalan Proton e.MAS 7.

Pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sahaja menandakan satu langkah besar dalam sektor automotif negara, malah turut menggambarkan komitmen Malaysia dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau, lapor Berita Harian Online.

Proton sebahagian besarnya dimiliki firma Malaysia, DRB-HICOM, dengan baki 49.9 peratus pegangan dimiliki syarikat pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group.

Proton e.MAS 7 tampil dengan dua pilihan iaitu Prime yang bermula pada harga RM109,800 ($33,250) dan versi tertinggi, Premium bermula RM123,800.

Malaysia menyasarkan penjualan EV dan kereta hibrid yang menyumbang satu perlima daripada jualan kereta baru menjelang 2030, menurut Reuters.

Negara itu telah mencatat peningkatan 112 peratus bagi jualan EV berkuasa bateri pada separuh pertama 2024.

Seramai 3,000 pelanggan terawal bakal menikmati rebat RM4,000.

Selepas rebat, Prime akan dijual pada harga bermula RM105,800 dan Premium bermula RM119,800.

Datuk Anwar dalam ucaptama pelancaran e.MAS 7 berkata pelancaran EV pertama jenama Malaysia adalah pencapaian penting membawa kejayaan negara itu dalam sektor automotif.

“Sekarang kita saksikan kejayaan yang lebih mengagumkan. Ia menjadi pencapaian penting dalam sektor automotif dan memperkemas hubungan yang terjalin antara Proton dengan Geely,” ujar beliau.

Konfigurasi EV itu cukup untuk membolehkan Proton e.MAS 7 memecut daripada 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat, sekali gus menjadikan ia model pengeluaran paling pantas Proton setakat ini.

Dengan jentera yang dimiliki, Proton e.MAS 7 mampu memecut sehingga kelajuan maksimum 175 km/j.

Untuk jarak perjalanan, Proton e.MAS 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 kilometer, manakala e.Mas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 kilometer untuk cas penuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg