Apabila syarikat kongsi kereta GetGo mengumpul dana hampir AS$15 juta ($20 juta) pada 2023, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersamanya, Encik Toh Ting Feng, menetapkan matlamat yang tinggi iaitu untuk membantu negara ini merealisasikan “sebahagian besar” Pelan Hijau 2030-nya dengan menyediakan perkhidmatan kepada sejuta isi rumah pada tahun itu.
Untuk itu, GetGo meningkatkan jumlah kenderaannya dengan menambah kenderaan elektrik (EV).
Pada mulanya, rancangan itu mendatangkan manfaat menerusi laporan pendapatan kasar syarikat itu, dengan pendapatannya meningkat 55 peratus tahun ke tahun pada 2023.
Selepas memperoleh sedikit keuntungan pada 2022, GetGo menghadapi kerugian pada 2023 kerana faedah pekerja dan perbelanjaan pajakan kenderaannya naik hampir dua kali ganda, menurut penyata kewangan yang telah diaudit untuk 2023, lapor akhbar The Business Times.
Namun dengan pertumbuhan berterusan dan operasi lebih cekap, Encik Toh berkata syarikat itu menjangka mencapai keuntungan pada 2024.
Ditubuhkan pada 2021, GetGo muncul sebagai salah satu syarikat berdaya teknologi utama dalam perkongsian kereta di Singapura.
Ia mendakwa menjadi platform kongsi kereta terbesar yang tidak memerlukan pengguna membayar deposit atau yuran keahlian.
Sebaliknya, syarikat itu beroperasi pada model bayar bagi setiap penggunaan mengikut jam atau hari.
Perkhidmatan ini ditawarkan melalui aplikasi GetGo, dengan kadar permulaan sekitar $3.
Kemudahan adalah kunci untuk perkhidmatan seperti GetGo, kata Encik Toh.
Syarikat itu telah mengembangkan jumlah keretanya kepada 3,000 daripada 2,100 semasa pusingan pembiayaan 2023, lantas meningkatkan kebolehcapaian untuk 400,000 pengguna berdaftarnya.
“Hari ini, terdapat sebuah kenderaan GetGo yang ada pada jarak lima minit jika berjalan kaki dari kebanyakan rumah pengguna,” kata Encik Toh.
EV adalah bahagian penting dalam pengembangan ini.
Pada tempoh pusingan dana $20 juta itu, syarikat itu berkata ia akan menambah lebih banyak EV untuk membina kumpulan 10,000 kereta elektrik.
Namun Encik Toh berkata hanya 10 peratus daripada kumpulan keretanya ialah EV, menyukarkan syarikat itu untuk menyokong Pelan Hijau 2030 yang meliputi matlamat jangka panjang Singapura bagi pelepasan karbon sifar bersih.
Namun begitu, syarikat itu menggabungkan pengembangan ini dengan usaha mendorong kesedaran jenama dan penglibatan masyarakatnya pada 2023, membolehkan GetGo meningkatkan tempahan bulanan semasanya daripada 150,000 kepada 180,000 pada Februari 2023.
Inisiatif itu merupakan pemacu utama pertumbuhan pendapatan GetGo pada 2023, menurut Encik Toh.
Syarikat itu, bagaimanapun, juga mencatatkan tahun pertama kerugiannya pada 2023, sebahagian besarnya ekoran perbelanjaan pentadbirannya yang meningkat dua kali dari tahun ke tahun kepada $20.5 juta.
Encik Toh berkata ini berlaku selepas setahun “pelaburan penting” untuk GetGo, menggandakan data syarikat dan keupayaan seni bina teknikal serta integrasi rakan kongsi.
Bagi penyepaduan, syarikat itu pada 2023 membuat perjanjian dengan Charge+, penyedia pengecasan EV, bagi memberikan pengguna GetGo akses kepada lebih 4,000 stesen pengecasan, kata Encik Toh.
Walaupun peningkatannya jelas, pencapaian syarikat itu datang dengan kos yang besar.
Sebagai contoh, tunai bersih GetGo yang digunakan dalam pelaburan naik lebih tiga kali ganda antara 2022 dengan 2023.
Namun untuk GetGo, usaha pengembangan ini berbaloi.
GetGo kini disepadukan dengan empat pengendali pengecasan EV di Singapura.
Pada Januari 2024, ia bekerjasama dengan SP Mobility yang turut menawarkan tempat pengecasan arus terus yang membolehkan kenderaan dicas lebih pantas.
GetGo turut melancarkan kategori kenderaan baru seperti Select yang membolehkan pengguna menyewa kenderaan tanpa pelekat atau jenama GetGo pada keretanya.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan SBS Transit untuk menyediakan penumpang dengan pilihan sambungan awal dan akhir perjalanan.
Syarikat itu masih mempunyai wang tunai untuk meneruskan rancangannya.
Pada Jun, GetGo menerima $6.7 juta daripada pusingan dana $20 juta pada 2023.
Wang itu, menurut Encik Toh, adalah “untuk pelaburan strategik masa depan”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg