Prudential Singapore lancar kebun sihat bagi sokong kemampanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prudential Singapore lancar kebun sihat bagi sokong kemampanan

Oct 27, 2025 | 7:28 PM

Prudential Singapore lancar kebun sihat bagi sokong kemampanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Healthy Harvest, Prudential, Dana Eko SG
Daya usaha Healthy Harvest merupakan sebahagian kerjasama dua tahun antara Prudential dengan Dana Eko SG di bawah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran. - Foto PRUDENTIAL SINGAPORE

Syarikat insurans, Prudential Singapore, melancarkan daya usaha sihat, ‘Healthy Harvest’, pada 26 Oktober, dengan pembukaan sebuah kebun dengan tanaman boleh dimakan, atau ‘edible garden’, di Telok Blangah Street 31.

Healthy Harvest merupakan sebahagian kerjasama dua tahun antara Prudential dengan Dana Eko SG di bawah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, yang bertujuan menggalakkan daya tahan iklim serta memupuk keterangkuman sosial dalam masyarakat.

Dana Eko SG dan Prudence Foundation – sayap pelaburan masyarakat Prudential – akan menyediakan sokongan pembiayaan, dengan modal permulaan sebanyak $400,000.

Healthy Harvest merangkumi kebun dengan tanaman boleh dimakan dan taman terapeutik di bumbung bangunan serta ruang masyarakat di Telok Blangah dan West Coast, lapor The Straits Times (ST).

Anggota masyarakat – khususnya warga emas, belia dan golongan kurang upaya – akan turut serta dalam kegiatan berkebun serta mempelajari amalan pemakanan lebih sihat.

Ketua Kemampanan Prudential Singapore, Cik Tan Ping Ping, berkata:

“Daya usaha ini selari dengan apa yang kami lakukan sebagai sebuah syarikat insurans – menggalakkan kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup mampan.”

Daya usaha itu menyasarkan untuk mengumpul 6,000 kilogram sisa makanan untuk dijadikan kompos, serta memetik dan mengagihkan 3,000 kilogram hasil tanaman segar – sekitar 20,000 pek – kepada masyarakat.

Ia juga menyasarkan untuk melibatkan 120 warga emas, golongan kurang upaya dan para penduduk sebagai sukarelawan tetap; serta menarik lebih 1,000 peserta dalam bengkel untuk mempelajari amalan berkebun secara mampan dan tabiat pemakanan sihat.

“Konsep makanan yang ditanam secara tempatan membantu menggalakkan kemampanan dan mengurangkan jejak karbon. 

“Apabila makanan yang ditanam terus dinikmati, ia mengurangkan jejak karbon kerana penghantaran dan pengangkutan tidak diperlukan,” kata Cik Tan.

Beliau menambah, daya usaha itu menyokong Pelan Singapura Menghijau 2030, yang bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan untuk memenuhi 30 peratus daripada keperluan makanan negara, menjelang 2030.

Kebun ini dibangunkan dengan kerjasama perusahaan sosial, Farmilysg dan City Sprouts.

Ruang kebun bandar di Telok Blangah dengan keluasan 185 meter persegi itu menggunakan struktur pertanian menegak, sistem pengairan titis bersepadu yang dikuasakan dengan tenaga suria, serta sistem kutipan air hujan bagi menjimatkan tenaga dan sumber air.

Sisa makanan akan dikumpul secara berkala daripada penduduk, restoran tempatan, serta rangkaian Farmilysg untuk dijadikan kompos.

Menurut Cik Tan, sistem itu mengetengahkan konsep kitar semula, serta mengurangkan pembaziran.

Prosesnya mengambil masa sekitar tiga minggu, dan penduduk boleh membawa pulang sayur-sayuran apabila ia sedia untuk diagihkan.

Ruang tersebut juga akan digunakan untuk bengkel pendidikan dan acara masyarakat.

Healthy Harvest merupakan sebahagian daripada pelaburan masyarakat SG60 Prudential bagi meraikan ulang tahun ke-60 Singapura serta pemindahan rasmi syarikat insurans itu ke Labrador Tower, berhampiran kebun masyarakat tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg