Anggota lembaga badan berkanun telah menerima surat oleh Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) untuk menjelaskan keadaan di mana mereka boleh dianggap sebagai penjawat awam di bawah undang-undang.
Bagi tujuan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, anggota lembaga itu akan dianggap sebagai penjawat awam apabila “menjalankan fungsi badan berkanun”, jelas PSD pada 9 Oktober sebagai menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST).
Surat itu, yang dikeluarkan pada 7 Oktober, juga dihantar kepada pengerusi badan berkanun pemerintah.
Surat PSD itu dibuat selepas bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, disabitkan dengan lima pertuduhan pada 3 Oktober.
Iswaran memulakan hukuman penjara setahun pada 7 Oktober selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 165, yang melarang pegawai awam mendapatkan hadiah daripada pihak yang mempunyai urusan perniagaan rasmi dengan mereka.
Dia juga mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghalang keadilan.
Dalam menyampaikan keputusan kehakimannya, Hakim Vincent Hoong berkata Iswaran telah menyalahgunakan kedudukannya dengan mendapatkan hadiah daripada pengerusi Grand Prix Singapura, Ong Beng Seng, walaupun mengetahui bahawa dia mempunyai hubungan rapat dengan tugas rasminya.
Surat PSD itu juga mengingatkan anggota lembaga tentang “garis panduan lazim” berkenaan cara menangani hadiah.
Ini termasuk menolak hadiah yang ditawarkan kerana jawatan rasmi mereka atau kerja rasmi mereka dalam badan berkanun, atau apabila konflik kepentingan yang berkaitan dengan tugas badan berkanun mereka mungkin timbul.
“Dalam nota itu, PSD turut merakamkan penghargaan kami kepada para ahli atas sumbangan mereka untuk membina Singapura yang lebih baik,” kata jurucakap.
The Business Times (BT) kali pertama mengetengahkan isu itu pada 2 Oktober, dalam laporan yang memaparkan bagaimana kes Iswaran boleh menghalang individu sektor swasta daripada duduk dalam anggota lembaga sektor awam.
Terdapat 64 badan berkanun, menurut Direktori Pemerintah Singapura.
Wakil sektor swasta kerap melebihi bilangan kakitangan pemerintah dalam lembaga badan berkanun.
Individu sektor swasta ini termasuk ahli perniagaan, peguam atau pengamal yang biasa dengan perkara yang lazimnya ditangani oleh badan berkanun.
Empat pertuduhan Iswaran berkenaan mendapatkan barangan berharga sebagai penjawat awam berkaitan dengan barangan yang diperolehnya daripada Ong, serta Encik David Lum Kok Seng, pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.
Dalam menjatuhkan hukuman kepada Iswaran, Hakim Hoong berkata Iswaran, sebagai menteri dan pengerusi jawatankuasa pemandu bagi Formula Satu (F1), mempunyai pengaruh dalam perkara yang mempunyai kepentingan awam yang besar.
Ini walaupun tidak ada bukti pemberian itu telah mempengaruhi keputusan berhubung F1 atau kontrak-kontraknya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg