Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSD umum Setiausaha Tetap Kedua baru di MOM, MOE, MOF mulai Sep

Aug 1, 2025 | 6:27 PM
PSD, setiausaha tetap kedua baru, MOM, MOE, MOF
Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan pelantikan baru bagi (dari kiri) Encik Augustin Lee, Encik Chng Kai Fong, Encik Kenneth Er Boon Hwee dan Cik Ngiam Siew Ying. - Foto PSD

Mulai 1 September, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan mempunyai Setiausaha Tetap Kedua baru, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Ogos.

Encik Kenneth Er Boon Hwee, 53 tahun, yang kini merupakan Timbalan Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Pembangunan Negara (MND), akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua di MOM dan MOE.

Encik Er telah memegang pelbagai jawatan di Lembaga Taman Negara (NParks), MND dan Gardens by the Bay, sebelum pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Gardens by the Bay pada 2012.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NParks dari 2014 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Perancangan) di MND pada 2023.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Synapxe Pte Ltd, Cik Ngiam Siew Ying, 49 tahun, juga akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua baru di MOF.

Cik Ngiam juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam, seperti dalam Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Pada 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Dasar) di Kementerian Kesihatan (MOH) dan kemudian menjadi CEO Synapxe pada 2022.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) juga akan menyaksikan perubahan pada pucuk pimpinannya dengan Encik Augustin Lee, 54 tahun, dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perdagangan), berkuat kuasa pada 1 September.

Beliau akan melepaskan kedua-dua jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kedua di MOH pada 1 September dan sebagai Setiausaha Tetap Kedua di PMO pada 1 Oktober.

Menurut PSD, Encik Lee telah memegang pelbagai jawatan termasuk di Kementerian Buruh (kini dikenali sebagai MOM), MOH, National Healthcare Group (NHG) dan MTI.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha sulit kepada Menteri Kanan ketika itu, Encik Goh Chok Tong, sebelum pelantikannya sebagai Timbalan Setiausaha di MOM.

Dari 2019 hingga 2023, beliau menggalas peranan sebagai CEO di Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Setiausaha Tetap (Maklumat dan Pembangunan) di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Chng Kai Fong, 46 tahun, akan mengambil alih portfolio Negara Pintar Encik Lee, berkuat kuasa 1 Oktober

Beliau akan turut dilantik secara serentak sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) (Negara Pintar) (Keselamatan Siber) di PMO, berkuat kuasa dari tarikh yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg