Kadar kenaikan tambang yang bakal berkuat kuasa telah diselaraskan bagi “mengurangkan kesan terhadap penumpang, meskipun terdapat peningkatan berterusan dalam kos operasi pengangkutan awam”, kata Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada 14 Oktober.
Kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 5 peratus pada 2025 adalah di bawah had maksimum pelarasan tambang yang dibenarkan iaitu 14.4 peratus, kata PTC.
PTC memaklumkan bahawa pemerintah turut memperuntukkan tambahan $200 juta – di samping subsidi operasi tahunan melebihi $2 bilion bagi pengangkutan awam – untuk menampung pelarasan tambang yang ditangguhkan hingga 2026.
“Di PTC, kami berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan tambang yang mampu ditanggung oleh semua pihak sambil memastikan kemampanan kewangan sistem pengangkutan awam,” kata Pengerusi PTC, Cik Janet Ang.
Beliau menambah bahawa langkah peningkatan tambang itu diperlukan bagi menampung peningkatan kos operasi serta memastikan gaji pekerja pengangkutan kekal setimpal.
Menurut PTC, sokongan tambahan itu bersamaan dengan lebih daripada $1 subsidi bagi setiap perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
PTC juga mengumumkan bahawa harga pas konsesi bulanan akan dikurangkan sebanyak $6 bagi penumpang dewasa dan $3 bagi warga emas.
Konsesi bagi pekerja berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya akan terus dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah, dan harga pas bulanan mereka akan dikurangkan dengan masing-masing sebanyak $4 dan $3.
Isi rumah berpendapatan rendah juga akan menerima sokongan tambahan daripada pemerintah untuk menghadapi kenaikan tambang melalui Baucar Pengangkutan Awam (PTV).
Isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang tidak melebihi $1,800 layak menerima PTV bernilai $60 bagi setiap isi rumah, kata Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) dalam kenyataan berasingan.
Isi rumah boleh menggunakan PTV untuk menambah nilai kad tambang atau membeli pas bulanan, apabila langkah kenaikan tambang itu berkuat kuasa pada 27 Disember.
Seperti pelaksanaan PTV pada 2024, PTV 2025 akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama akan bermula menjelang akhir Disember.
Isi rumah yang telah menerima PTV pada 2024 dan masih memenuhi kriteria kelayakan pendapatan akan menerima PTV secara automatik.
Mereka akan menerima surat pemberitahuan PTV melalui pos atau khidmat pesanan ringkas (SMS), berdasarkan pilihan yang ditetapkan pada pelaksanaan sebelum ini.
Fasa kedua akan bermula pada awal 2026, dan isi rumah yang memenuhi kriteria kelayakan tetapi tidak menerima baucar pada fasa pertama boleh memohon PTV – sama ada secara dalam talian atau di Kelab Masyarakat (CC).
Setelah menerima surat pemberitahuan PTV, isi rumah boleh mengikut arahan di dalam surat tersebut dan menebus baucar mereka mulai 29 Disember.
Baucar daripada Pelaksanaan PTV akan datang, sah digunakan sehingga 31 Mac 2027.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg