Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, telah membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berhubung cadangannya berhubung rakyat Palestin dan Jaluran Gaza.
Menerusi satu hantaran Facebook pada 5 Februari, Puan Halimah berkata usulan Encik Trump itu jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Pada 4 Februari, Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah mengadakan sidang media bersama.
Dalam sesi itu, Encik Trump bukan sahaja mencadangkan pengambilalihan Gaza oleh Amerika, malah turut menggesa rakyat Palestin agar berpindah ke negara Timur Tengah lain, seperti Mesir dan Jordan.
Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Palestin dan kededua negara berkenaan.
Puan Halimah berkata: “Sangat menggerunkan. (Ia) jelas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Rakyat Palestin telah banyak menderita. (Seramai) 750,000 rakyat Palestin yang telah dipaksa keluar dari rumah mereka semasa peristiwa Nakba pertama pada 1948, (kini) tinggal di Gaza.
“Sekarang Nakba kedua? Ini adalah penghinaan terakhir yang ditimpakan kepada rakyat Palestin yang menderita.
“Dengan retorik sedemikian, di manakah fasa kedua gencatan senjata Gaza yang sepatutnya dirundingkan dan menuju ke arah keamanan?”
Dalam hantaran tersebut, Puan Halimah merujuk kepada laporan di akhbar The Straits Times bertajuk, ‘Israel’s best friend’: Trump’s plan to ‘take over’ Gaza evokes memory of 1948 Nakba evictions’ (‘Kawan baik Israel’: Rancangan Trump untuk ‘mengambil alih’ Gaza membangkitkan ingatan tentang pengusiran semasa peristiwa Nakba 1948).
Awal sebelum ini Encik Trump berkata:
“Amerika Syarikat akan mengambil alih Jaluran Gaza, dan kami akan melakukan sesuatu mengenainya juga.
“Kami akan menaklukinya dan bertanggungjawab untuk menghapuskan semua bom berbahaya yang tidak meletup dan senjata lain di tapak itu.”
Pengisytiharan Encik Trump bahawa Amerika boleh “mengambil alih” Jaluran Gaza dan penduduk Palestin dipindahkan secara kekal telah menerima kecaman serta-merta di Timur Tengah.
Puan Halimah sebelum ini mengeluarkan hantaran di Facebook yang menggesa agar pembunuhan rakyat Palestin harus dihentikan segera sementara menunggu gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa, bagi menghormati integriti proses tersebut.
“Apabila gencatan senjata diumumkan semalam (16 Januari), 80 rakyat Palestin terbunuh.
“Lebih 64,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh 15 bulan dan kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan orang tua.
“Makanan, perubatan dan bekalan penting lain harus dibenarkan masuk dengan segera untuk menghentikan kelaparan dan penderitaan,” ujar Puan Halimah yang juga mengingatkan bahawa ia akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk membina semula Gaza susulan tahap kemusnahan yang berlaku.
“
“Sangat menggerunkan. (Ia) jelas pelanggaran undang-undang antarabangsa. Rakyat Palestin telah banyak menderita. (Seramai) 750,000 rakyat Palestin yang telah dipaksa keluar dari rumah mereka semasa peristiwa Nakba pertama pada 1948, (kini) tinggal di Gaza. Sekarang Nakba kedua? Ini adalah penghinaan terakhir yang ditimpakan kepada rakyat Palestin yang menderita. Dengan retorik sedemikian, di manakah fasa kedua gencatan senjata Gaza, yang sepatutnya dirundingkan dan menuju ke arah keamanan?”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg