Lebih $1.5 juta dikumpulkan Persatuan Ain bagi usaha mengumpul dana di bawah Projek Kasih 2025.
Jumlah sehingga 6 petang, 31 Januari itu, dimaklumkan jurucakap persatuan berkenaan ketika dihubungi Berita Minggu (BM).
Menurutnya, jumlah yang terkumpul itu terus membuktikan kepercayaan rakyat Singapura terhadap usaha murni Persatuan Ain dalam membantu mereka yang lebih memerlukan, khususnya pesakit barah serta penjaga mereka.
Menyedari cabaran ekonomi, Persatuan Ain menetapkan sasaran kutipan dana pada Konsert Amal Projek Kasih pada 10 Januari lalu, sebanyak $700,000.
Jumlah sasaran ini dirancang dengan teliti dalam memastikan dana yang diperlukan tidak membebankan para dermawan, terutamanya dalam menghadapi tekanan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Jumlah yang ditetapkan itu juga lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan pada 2024.
Bagaimanapun, setelah sedekad memperjuangkan pesakit barah serta pengasuh mereka, konsert amal, Projek Kasih 2025 itu, berjaya mengumpulkan dana sebanyak $1,277,130 dan ini telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan Persatuan Ain.
Jumlah ini, bagaimanapun, lebih rendah daripada jumlah yang dikumpulkan pada 2024, iaitu $1,485,281.
Bagaimanapun, perkembangan terkini kutipan dana Projek Kasih sudah mencapai $1,502,068, sesuatu yang amat disyukuri penggerak persatuan berkenaan.
Sewaktu dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Md Yusof Ismail, berkata:
“Sejak awal lagi, kami meletakkan sasaran kami sebanyak $700,000, disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta inflasi.
“Kami beranggapan bahawa pada awal tahun (2025), ibu bapa perlu mengeluarkan banyak perbelanjaan demi menampung persekolahan anak-anak mereka dan kami tidak mahu membebankan para dermawan.”
Baginya, meskipun rakyat Singapura dikenali dengan sifat mereka yang murah hati, namun dalam waktu yang sama, mereka sudah tentu berhati-hati ketika ingin membuat sumbangan.
Beliau turut memahami bahawa kepercayaan adalah kunci utama untuk menggalakkan sumbangan.
Dengan itu, pasukan Projek Kasih akan memastikan ketelusan dalam pengurusan dana menjadi keutamaan.
“Kami percaya, selagi tujuan kami murni dan jika kami telus dalam pengurusan dana, orang ramai, walaupun mereka berhati-hati, akan tetap membuat sumbangan,” tambah Dr Md Yusof.
Sejauh ini, jumlah dana yang berjaya dikumpulkan amat membanggakan dan ini membuktikan bahawa usaha murni Projek Kasih telah mendapat sambutan yang positif daripada masyarakat Melayu/Islam.
Pada konsert amal Projek Kasih 2025, Sunny Low Dance Production Studio menjadi penyumbang terbesar kepada Persatuan Ain, dengan jumlah sumbangan mencecah $360,000.
“Kami bersyukur dan gembira dengan jumlah yang berjaya kami kumpulkan setakat ini.
“Setinggi penghargaan kepada semua yang telah menderma, dan kami berharap lebih ramai lagi yang akan menyumbang kepada Projek Kasih 2025,” ujar Dr Md Yusof lagi.
Konsert amal dengan tema Rapuh, Setitis Ihsan Segunung Harapan selama dua jam pada 10 Januari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran mantan Presiden Singapura sekali gus penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.
Ia dijayakan Ziana Zain, Datuk Ramli Sarip, Hady Mirza, Iskandar Ismail dan Rahila Rashun.
Sumbangan bagi pesakit barah dan penjaga mereka masih diterima dan para dermawan boleh menyalurkan bantuan melalui PayNow ke UEN: T00SS0163F atau melalui laman web aindonate.sg/pk25.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg