Agensi air negara PUB pada 20 November melancarkan kempen pertamanya untuk menggalakkan orang ramai bersiap menghadapi banjir, di tengah-tengah cuaca tidak menentu dan ribut lebih kuat akibat perubahan iklim.
Agar tidak terperangkap dalam banjir pada musim hujan ini, orang ramai boleh mengikuti panduan berikut, yang diambil daripada singkatan perkataan ‘FLASH’:
• F – ‘Follow’: Ikuti amaran banjir PUB;
• L – ‘Learn’: Ketahui cara bersedia menghadapi banjir;
• A – ‘Avoid’: Elakkan kawasan banjir;
• S – ‘Share’: Kongsi maklumat terkini banjir PUB; dan
• H – ‘Help’: Bantu orang lain jika boleh.
Selain poster kempen dan klip video sepanjang seminit, PUB berkata ia bekerjasama dengan syarikat seperti aplikasi tempahan pengangkutan CDG Zig, Grab dan platform Motorist untuk berkongsi panduan keselamatan banjir dengan penggunanya.
Agensi itu juga bekerjasama dengan Grab untuk mengeluarkan amaran banjir kepada pemandu dan penunggang penghantaran makanan melalui aplikasinya menjelang 2025, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, pemandu boleh mengambil pelekat kereta ‘Flood-Wise Drive’ dari stesen-stesen Esso mulai 2 Disember, dengan kenderaan yang dilihat memasang pelekat itu berpeluang memenangi baucar runcit $100 dari 2 Disember hingga 22 Disember.
Maklumat dalam pelekat itu termasuk nasihat kepada pemandu, misalnya, mengingatkan mereka supaya jangan memandu melalui air banjir yang melebihi ketinggian bebendul jalan.
Syarikat perkongsian kereta BlueSG dan Lumens juga akan meletakkan pelekat itu pada kenderaan mereka.
Orang ramai boleh mendapatkan makluman banjir melalui saluran Telegram PUB (t./me/pubfloodalerts) dan aplikasi myENV.
Encik Maurice Neo, pengarah Jabatan Tadahan dan Laluan Air PUB, berkata orang ramai perlu bersiap menghadapi banjir, walaupun agensi itu terus meningkatkan prasarana saliran air Singapura.
“Kami menyaksikan lebih banyak peristiwa cuaca ekstrem di serata dunia, yang memberi peringatan jelas mengenai hakikat perubahan iklim,” katanya.
Menjelang musim tengkujuh akhir tahun, agensi itu berkata ia telah meningkatkan pemeriksaan di serata pulau untuk memastikan longkang awam tidak tersumbat dan boleh membawa air hujan yang banyak dengan berkesan.
Ini terutama untuk bangunan utama di sini dan kawasan yang terdedah kepada banjir.
Ia juga menawarkan kepada penduduk di kawasan mudah banjir dengan pengadang dan beg yang boleh diisi dengan angin, dan boleh digunakan dengan cepat semasa hujan lebat untuk mengelakkan air banjir.
Pengendali MRT turut menjalankan latihan tahunan di semua laluan kereta api awam bagi memastikan kakitangannya bersedia dan kereta api terus beroperasi semasa banjir.
Hujan sederhana hingga lebat berserta petir diramalkan di banyak bahagian pulau ini pada kebanyakan hari dalam separuh kedua November, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) sebelum ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg