Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Punggol Shore lancar hab mesin layan diri 24 jam, mudahkan penduduk akses keperluan harian

Dec 7, 2025 | 4:32 PM
barang, akses, mudah, Punggol
Penduduk Punggol Shore sedang membeli barangan asas daripada Hab Mesin Layan Diri 24 Jam yang disediakan oleh Punggol Shore Cares (PSCares). Mesin layan diri tersebut menawarkan barangan keperluan asas seperti ubat gigi kepada penduduk tidak kira waktu. - Foto PUNGGOL SHORE

Lebih banyak kemudahan, khususnya akses bagi barang keperluan harian kini disediakan untuk penduduk di Punggol Shore.

Berikutan maklum balas yang diterima daripada penduduk, satu Hab Mesin Layan Diri 24 jam telah disediakan di seluruh kawasan tersebut untuk menawarkan akses sepanjang masa kepada pelbagai keperluan harian penduduk.

Penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling, berkata bahawa hab tersebut membolehkan penduduk mendapatkan barangan asas mereka walaupun bekerja pada waktu tidak menentu atau ketika memerlukan keperluan secara tiba-tiba.

Inisiatif baru yang dilancarkan secara rasmi pada 7 Disember, diperkenalkan GRO Punggol Shore di bawah teras Punggol Shore Cares (PSCares), sebagai usaha meningkatkan kemudahan, kemampuan dan aksesibiliti penduduk kepada barangan keperluan.

Bercakap semasa pelancaran hab itu di Blok 185 Edgefield Plains, Cik Yeo berkata perbincangan bersama pekerja syif dan warga emas telah membantu pihaknya mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi penduduk.

“Daripada perbualan dengan penduduk, kami mendengar cabaran mereka apabila memerlukan keperluan asas selepas waktu kerja. Komuniti bersama-sama tampil mencari penyelesaian, dan saya bangga kami dapat membawa kemudahan ini terus ke kawasan kejiranan,” kata Cik Yeo.

“Inilah semangat Punggol Shore Cares – mendengar suara penduduk dan bekerjasama meningkatkan mutu kehidupan harian mereka.”

Inisiatif tersebut menyediakan huraian mudah untuk penduduk yang memerlukan akses cepat kepada barangan asas.

Sama ada pekerja syif yang mencari makanan segera selepas kerja, atau penduduk yang terlupa membeli detergen pada siang hari, hab mesin layan diri tersebut memberikan kemudahan dalam jarak dekat.

Harga barangan juga lebih rendah berbanding pasar raya biasa, memastikan penduduk tidak perlu membayar premium untuk kemudahan akses sepanjang masa.

Pendekatan tersebut memperkukuh komitmen PSCares dalam memastikan keperluan harian kekal mampu milik untuk semua.

Hab Mesin Layan Diri 24 jam turut memberi manfaat besar kepada warga emas yang menghadapi masalah mobiliti atau kurang selesa keluar rumah pada lewat malam.

Dengan membawa barangan penting ke dalam kawasan perumahan, inisiatif tersebut menyokong usaha mewujudkan komuniti mesra usia, di mana warga emas dapat mengakses keperluan mereka dengan lebih selamat dan mudah.

Sebanyak 63 mesin layan diri telah dipasang di 12 Hab Mesin Layan Diri merentasi Punggol Shore, dengan satu hab ditempatkan di setiap daerah Punggol Shores untuk memastikan capaian menyeluruh.

Mesin tersebut menyediakan pelbagai barangan termasuk minuman, snek dan makanan siap dimakan – termasuk pilihan sihat – serta barangan keperluan harian seperti detergen, ubat gigi dan barangan asas lain.

Beberapa lokasi terpilih juga menampilkan mesin minuman panas yang menyediakan kopi dan teh segar pada bila-bila masa, memberikan pilihan tambahan kepada penduduk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg