Pekerja di kawasan pusat bandar (CBD) kini boleh mendapatkan khidmat kaunseling serta pengurusan tekanan dan kesakitan berhampiran pejabat mereka di pusat baharu di Capital Tower yang dibuka pada 15 September.

Pusat yang dinamakan, Touchpoint@Capital Tower itu akan memudahkan pekerja dan keluarga mereka mendapatkan sokongan kesejahteraan mental, fizikal dan digital di satu tempat.

Pusat itu dilancarkan oleh agensi khidmat sosial, Touch Community Services, serta firma hartanah CapitaLand, yang beribu pejabat di Capital Tower.

Selain kaunseling individu dan keluarga bagi masalah seperti tekanan, keresahan serta cabaran pekerjaan dan hubungan, pusat itu menyediakan sesi kesedaran (mindfulness) dan penilaian psikologi, termasuk ujian Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Sesi terapi seni buat ibu bapa dan anak turut ditawarkan pada waktu makan tengah hari di pusat itu, yang terbuka kepada semua golongan dewasa yang bekerja.

Pada majlis pembukaannya, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Foo Cexiang, berkata peranan tempat kerja penting dalam membantu pekerja agar kekal berdaya tahan dan sihat, memandangkan semakin ramai pekerja dewasa yang turut menjaga anak dan ibu bapa lanjut usia.

Beliau memetik laporan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) 2026 yang mendapati pekerja yang mempunyai skim sokongan di tempat kerja mencatat kadar lesu upaya yang jauh lebih rendah.

Encik Foo berharap lebih banyak majikan, pertubuhan masyarakat dan penyedia perkhidmatan dapat bekerjasama untuk menjadikan kesejahteraan sebagai perkara penting dalam kehidupan harian.

Satu kajian Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2025 mendapati seorang daripada empat orang dewasa di Singapura mengalami gejala ringan kemurungan dan keresahan.

Ketua Eksekutif, Touch Community Services, Encik James Tan, berkata pekerja lazimnya menghadapi tekanan akibat perubahan di rumah dan tempat kerja, serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

Ketua Eksekutif syarikat pengurusan komersial CapitaLand Investment, Encik Ervin Yeo, pula berkata pusat itu memudahkan orang ramai mendapatkan sokongan dan menjadikannya sebahagian amalan harian, seperti mendapatkan secawan kopi ketika rehat makan tengah hari.

Pusat tersebut turut menyediakan khidmat fisioterapi bagi kesakitan muskuloskeletal akibat kecederaan serta masalah sendi dan otot, dengan alat kecerdasan buatan (AI) menilai julat pergerakan pekerja bagi memberikan rawatan lebih khusus.

Bengkel pengurusan tekanan dan tanggungjawab menjaga ahli keluarga turut diadakan.

Cik Latha Chelleathangam, 55 tahun, yang telah bekerja di Tanjong Pagar selama hampir sedekad, berkata beliau mungkin mengunjungi pusat itu apabila terasa beban di tempat kerja, atau memerlukan sokongan emosi.

Kakitangan pentadbiran di sebuah institusi pendidikan swasta itu berkata pusat itu berdekatan dengan tempat kerjanya selain lebih mudah dan selesa untuk mendapatkan bantuan.