Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) memohon maaf selepas satu e-mel undangan ke sebuah acara tersilap dihantar kepada 467 alamat e-mel dengan penerima dapat melihat alamat e-mel satu sama lain.

Dalam satu kenyataan pada 19 September malam, Ketua Pegawai Operasi dan Pegawai Perlindungan Data NCCS, Encik Chong Pang Boon, berkata pusat itu amat sesal atas kesilapan tersebut, yang beliau sifatkan sebagai kesilapan pentadbiran.

E-mel tersebut merupakan undangan ke acara Hidup dengan Barah Buah Dada dan Ovari Keturunan (HBOC), buat individu yang hidup dengan sindrom HBOC serta orang tersayang mereka, yang dihantar oleh NCCS pada 7.53 malam, 18 September.

“Selain alamat e-mel, tiada nombor NRIC, nombor telefon atau data peribadi lain yang terdedah.

“Kami memohon maaf atas sebarang kegelisahan yang mungkin timbul, dan kami amat sesal atas kesilapan ini,” ujar Encik Chong.

Tambahnya, mereka juga telah menghubungi penerima e-mel tersebut untuk menawarkan sokongan dan menangani sebarang keprihatinan yang mereka ada.

Beliau berkata NCCS memandang serius perlindungan data peribadi dan telah melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan (MOH) dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).

“Kami sedang menjalankan siasatan dan meneliti semula proses dalaman kami secara menyeluruh untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Sindrom HBOC, yang boleh menjejas lelaki dan wanita, merupakan penyakit yang boleh diwarisi, yang meningkatkan risiko seseorang menghidap barah tertentu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti