Setelah mencapai begitu banyak pada usia 60 tahun, termasuk ijazah idaman dalam Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan, guru latihan jasmani sambilan, Encik Arun Rosiah, ingin memutar balik masa dan mengambil semula mata pelajaran Matematik dalam Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.

“Ini mungkin pelik bagi sesetengah orang, untuk apa saya duduki peperiksaan ‘O’ sedangkan saya sudah hampir bersara, tetapi saya bertekad untuk melakukannya untuk membuktikan yang saya boleh mencapai markah lebih baik daripada B4 yang saya dapat dahulu.

“Di masa depan, siapa tahu, saya boleh mengajar cucu saya pula,” kata bapa kepada tiga orang anak dan baru-baru ini bergelar datuk.

Selain menjadi guru latihan jasmani sambilan di Maktab Rendah Yishun Innova, Encik Arun juga merupakan jurulatih senaman bertauliah dan banyak membantu mereka yang ingin perbaiki kesihatan fizikal mereka, termasuk warga emas yang tidak bermaya dan bekas pesakit strok.

“Pesakit strok mengambil masa untuk pulih seperti sediakala, tetapi dengan latihan senaman fisioterapi, mereka akan dapat kembali bertenaga.

“Pelanggan saya yang paling tua berumur dari 84 tahun, dan saya juga melatih dua beradik remaja berumur 14 dan 15 tahun,” jelas Encik Arun, seorang mualaf.

Di sebalik penampilan fizikalnya yang sasa, sejajar dengan pekerjaannya sebagai guru latihan jasmani dan jurulatih sambilan, Encik Arun pernah diduga dengan penyakit barah kolorektal 10 tahun lalu yang hampir memusnahkan hidupnya. 

“Barah banyak berubah fikiran dan hidup saya, kini saya ingin melakukan yang terbaik untuk diri saya, rumahtangga dan keluarga, dan lebih fokus kepada apa yang lebih penting dalam hidup saya,” terang Encik Arun yang juga telah berjinak-jinak dalam bidang peragaan untuk warga emas. 

Menurut Encik Arun, beliau suka mengenakan warna terang dan ramai yang tidak dapat meneka umur sebenarnya. 

“Warga emas juga boleh nampak segak dan mengenakan pakaian ranggi. Industri fesyen juga perlu beri peluang dan tumpuan kepada warga emas. Warga emas juga perlu berpakaian muda untuk rasa lebih bertenaga.

“Mana tahu, melalui laporan ini, saya akan dapat tawaran untuk model lagi,” katanya berseloroh.

Dari segi pemakanan dan amalan kesihatan, Encik Arun mengambil jalan sederhana dan tidak terlalu keterlaluan. 

“Saya tidak berdiet tetapi saya amalkan cara pemakanan yang sederhana. Lagipun saya memang kekal aktif dan menghabiskan banyak masa di gim. Lebih penting dari itu adalah penjagaan kesihatan mental. 

“Pada masa lapang, saya suka dengar muzik dan sering menari bersama isteri untuk menghiburkan hati, itu membuat kami rasa riang dan muda belaka.”

Selain bersenam, Encik Arun dan isterinya mengambil kelas tarian untuk melakukan kegiatan bersama dan bergiat aktif.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan