Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat data utama mungkin perlu patuh syarat kecekapan air ditetapkan
Pusat data utama mungkin perlu patuh syarat kecekapan air ditetapkan
Pusat data utama di Singapura berkemungkinan dikehendaki memenuhi syarat kecekapan air yang ditetapkan oleh pemerintah apabila sektor itu dan teknologi penyejukan berkembang, di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan di Parlimen.
Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital, yang dibaca buat kali kedua di Parlimen pada 6 Oktober, menetapkan piawaian keselamatan dan ketahanan asas bagi infrastruktur digital utama di Singapura.
Ini termasuk pusat data yang direka untuk membekalkan sekurang-kurangnya 10 megawatt kuasa elektrik, serta penyedia perkhidmatan awan yang menjana purata hasil tahunan sekurang-kurangnya $100 juta daripada Singapura dalam tempoh tiga tahun.
Ketika berucap di Parlimen pada 6 Oktober, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata rang undang-undang itu bertujuan membuat persediaan untuk masa hadapan.
“Sebahagian besar rakyat Singapura mungkin tidak pernah melangkah masuk ke dalam pusat data, tetapi kebanyakan aktiviti harian kita bergantung kepadanya.
“Maka, kita perlu menetapkan peraturan yang betul sebelum masalah menjadi krisis,” kata beliau.
Walaupun Singapura tidak bermula dari sifar dan telah bekerjasama dengan industri untuk meningkatkan piawaian keselamatan, ketahanan dan kelestarian secara beransur-ansur, langkah sedia ada adalah secara sukarela, kata Encik Tan.
Beliau menambah, memenuhi piawaian sedemikian yang tinggi sahaja tidak mencukupi, memandangkan satu gangguan boleh menjejaskan banyak perkhidmatan secara serentak.
Encik Tan menukil insiden masalah sistem penyejukan pusat data di Singapura yang berlaku pada Oktober 2023.
Ia menjejaskan perkhidmatan perbankan dalam talian dan pembayaran yang disediakan oleh bank utama selama lebih 12 jam, mengakibatkan 2.5 juta transaksi pembayaran dan mesin tunai automatik (ATM) gagal.
Rang Undang-Undang yang dicadangkan itu – yang merangkumi keselamatan fizikal dan siber, kesinambungan perniagaan, pemulihan bencana, serta pelaporan insiden – akan membenarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bertindak sebagai pengawal selia.
Pusat data utama dan penyedia perkhidmatan awan perlu mempunyai lesen dan mesti memenuhi garis panduan piawaian bersama.
Ini termasuk mengambil langkah untuk memastikan keselamatan dan ketahanan perkhidmatan infrastruktur digital utama mereka.
Penyedia perkhidmatan juga mesti memaklumkan kepada IMDA sekiranya berlaku insiden keselamatan siber atau gangguan penyampaian perkhidmatan yang telah ditetapkan.
Selain ketahanan infrastruktur, pengendali pusat data juga perlu memastikan kelestarian alam sekitar di kemudahan mereka.
Keperluan itu, yang bakal ditetapkan IMDA, merangkumi tiga bidang iaitu kecekapan tenaga di peringkat kemudahan, kecekapan tenaga peringkat peralatan teknologi maklumat (IT), dan kecekapan air di peringkat kemudahan.
Ia akan diterapkan kepada pusat data sedia ada dan baharu, yang menjana penggunaan kuasa IT kritikal sekurang-kurangnya tiga megawatt.
Jumlah itu seumpama penggunaan tenaga sebuah pusat beli-belah yang besar di kawasan perumahan.
Undang-undang baharu itu menyediakan asas perundangan, manakala IMDA boleh mengemas kini keperluan garis panduan tersebut secara beransur-ansur, seiring dengan perkembangan risiko, teknologi dan amalan industri.
“Kita bermula dengan standard yang praktikal dan berkesan hari ini, serta meningkatkannya apabila jalannya menjadi lebih jelas.
“Aspirasi kita bukan sekadar jumlah kuasa pengkomputeran yang tertinggi, tetapi manfaat dan nilai tertinggi daripada pengkomputeran itu untuk Singapura, bukan sahaja untuk masa kini, tetapi untuk masa hadapan,” kata Encik Tan.
Perbahasan diteruskan pada 7 Oktober.