Syarikat infrastruktur kecerdasan buatan (AI), Zero Gravity (0G), akan menubuhkan pejabat fizikal pertamanya di Singapura menerusi pelaburan bernilai $20 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menerusi peruntukan $20 juta itu, sebanyak $10 juta akan digunakan bagi menubuhkan ibu pejabat global 0G serta memperluas operasi dan tenaga kerjanya di sini.

Baki pelaburan diagihkan kepada kerjasama penyelidikan akademik bersama Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebanyak $9 juta, serta peruntukan $1 juta khas bagi projek penyelidikan AI dalam badminton bersama NTU dan Akademi Y Badminton.

Menerusi projek penyelidikan tersebut, buat julung-julung kalinya teknologi AI akan membantu jurulatih dan atlet belia bawah 19 tahun memantau perincian yang tidak mampu dilihat mata kasar – seperti perkembangan otot dan corak pergerakan.

Langkah itu juga bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko kecederaan awal dalam kalangan pemain muda, malah berhasrat melahirkan juara dunia pada masa hadapan.

Perkembangan tersebut diumumkan 0G pada 5 Oktober di Galeri Nasional Singapura sempena penganjuran 0G Dev Day Singapore 2026.

Menjelaskan peranan strategik Singapura, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, menekankan bahawa keupayaan melaksanakan teknologi di sini menjadi penanda aras penting untuk perkembangan perniagaan global.

Semasa berucap dalam majlis yang dihadiri sekitar 3,000 hadirin yang merangkumi pengasas, eksekutif, penyelidik, pemaju, perniagaan dan wakil antarabangsa, Encik Tan berkata:

“Pasaran di Singapura adalah kecil dan tiada sesiapa datang ke sini hanya untuk melayani pasaran Singapura.

“Namun, keberadaan dan keupayaan untuk melaksanakannya di sini memberi syarikat dan pengguna inovasi keyakinan bahawa penyelesaian mereka telah diuji dalam dunia sebenar.

“Ia mungkin memerlukan sedikit penyesuaian untuk berkembang menjangkau Singapura, tetapi ini memberikan titik permulaan dan batu loncatan yang sangat baik – terutamanya ke rantau ini, mahupun selain Asia Tenggara,” kata beliau.

Turut berucap di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas bersama 0G, Encik Michael Heinrich, yang berkata bahawa komitmen mereka kepada Singapura bukan sekadar membuka sebuah pejabat.

Malah, ia adalah mengenai penyelidikan, bakat, inovasi dan pelaburan jangka panjang.

“Singapura juga merupakan salah sebuah negara yang paling terhubung secara antarabangsa di dunia.

“Kami melihat Singapura bukan sebagai destinasi akhir bagi apa yang sedang kami bina, sebaliknya sebagai tapak peluncuran ke seluruh dunia,” katanya.

Daripada peruntukan $20 juta itu, Zero Gravity Labs dan NTU merasmikan fasa seterusnya bagi kerjasama penyelidikan bernilai $5 juta selama empat tahun, yang pernah diumumkan pada November lalu.

Inisiatif tersebut telah pun membuahkan hasil apabila tiga kertas kerja kolaboratif diterima di NeurIPS dan satu di ICML – dua daripada persidangan penyelidikan AI paling terkemuka di dunia.

Sementara itu, tambahan $4 juta lagi diperuntukkan khusus bagi meluaskan kolaborasi bersama universiti dan rakan kongsi akademik yang lain.

Di samping penyelidikan asas AI, tumpuan turut diarahkan kepada prestasi sukan, bermula dengan badminton.

Tajaan sebanyak $1 juta itu akan ditumpukan kepada pembangunan atlet belia berusia bawah 19 tahun bagi tempoh tiga tahun akan datang (2026 hingga 2029).

Bagi melengkapkan ekosistem tersebut, 0G turut menyediakan dana penajaan utama bernilai $265,000 setahun kepada Akademi Y Badminton bagi menganjurkan kejohanan belia antarabangsa bawah 19 tahun, yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 13 Disember ini.

Penasihat Kanan kepada Pejabat Presiden, NTU, Dr Mohamad Maliki Osman, menjelaskan bahawa badminton dipilih kerana ia merupakan sukan berbilang aspek yang merangkumi pergerakan serentak – termasuk larian, lompatan, koordinasi tangan dan mata, kelajuan, serta kemahiran tinggi.

Pemilihan sukan tersebut juga didorong oleh popularitinya yang luas serta rekod pencapaian cemerlang dalam meraih pingat untuk negara di acara sukan.

Beliau menambah bahawa berbeza dengan analitik sukan sedia ada yang lebih menumpukan kepada prestasi permainan semata-mata, teknologi AI baharu itu berupaya menilai anatomi tubuh dan membantu mengurangkan risiko kecederaan.

Oleh itu, pendedahan seawal usia muda amat penting supaya jurulatih dapat memantau tahap perkembangan otot pemain dan memahami had keupayaan fizikal mereka, jelas Dr Maliki.

“AI mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita dan boleh mengesan apa yang tidak dapat saya lihat apabila saya sedang bermain.

“Apabila anda bermula dari usia muda, anda mula mendidik pemain supaya sedar tentang anatomi tubuh mereka.

“Ini juga diterjemahkan kepada bagaimana jurulatih membantu mereka membina keupayaan, bukan sahaja di gelanggang, malah semasa latihan di gimnasium, mengangkat berat dan pelbagai aspek lain,” katanya.

Beliau menambah bahawa dapatan daripada penyelidikan itu akan dikongsi kepada persatuan sukan kebangsaan dan Sekolah Sukan Singapura bagi menyokong pembangunan atlet muda dan atlet kebangsaan.

Mengulas mengenai kejohanan badminton belia yang akan berlangsung pada akhir tahun ini, Pengarah, YB Events and Sports Pte Ltd, Daniel Yudi Kurniawan, menjelaskan bahawa ia akan diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Lantas, pemain itu boleh mengumpulkan mata agar mereka boleh melayakkan diri ke temasya besar seperti Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia. 

“Kanak-kanak di sini, jika dibandingkan dengan gergasi badminton seperti Indonesia dan Korea, mereka sedikit ketinggalan kerana kita kurang menyertai pertandingan.

“Di Korea dan Jepun, terdapat banyak pertandingan sebegini, sekali gus menjadikan mata kedudukan mereka lebih tinggi daripada pemain Singapura.

“Pada masa yang sama, kami dapat mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu, memberi mereka latihan percuma, serta menjalankan penyelidikan dan pelbagai perancangan seterusnya, ujar beliau.