Setelah melihat wujudnya jurang dalam khidmat sokongan mental, emosi dan fizikal, pakar psikoterapi, Cik Maimunah Mosli, fikir terdapat keperluan penting untuk menubuhkan sebuah pusat kesejahteraan sehenti bagi mempermudahkan sokongan bagi mereka yang memerlukan.

Ini lebih-lebih lagi setelah syarikatnya, Alternative.Minds, yang menyediakan khidmat terapi, latihan dan perundingan, melihat peningkatan permintaan yang ketara terhadap perkhidmatan sedemikian sepanjang tahun lalu.

Berbekal lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang psikoterapi sistemik, Cik Maimunah, 54 tahun, mengambil keputusan untuk membuka Alternative X, sebuah pusat rawatan dan kesejahteraan baharu di 7 Jalan Saudara Ku berhampiran East Coast Road. Ia dibuka secara rasmi pada 2 Oktober lalu.

Antara ciri pusat Alternative X termasuk suasana dalaman yang menenangkan untuk membaca, berbual, dan bekerja.
Antara ciri pusat Alternative X termasuk suasana dalaman yang menenangkan untuk membaca, berbual, dan bekerja. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Seseorang mungkin memerlukan rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH), rawatan daripada hospital lain, dan juga sokongan tambahan daripada pusat khidmat keluarga.

“Mereka menerima layanan daripada pihak-pihak tersebut, namun mungkin tidak dilihat secara menyeluruh berdasarkan segala masalah yang mereka hadapi.

“Justeru, saya fikir mungkin terdapat jurang dalam proses peralihan semasa mereka mendapatkan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak,” kata Cik Maimunah.

Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kiri) dan pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams (dua dari kiri) berinteraksi dengan pengguna ruang Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober.
Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kiri) dan pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams (dua dari kiri) berinteraksi dengan pengguna ruang Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi Alternative X pada 9 Oktober, Cik Maimunah berkata permintaan terhadap penjagaan dan sokongan berterusan seumpama itu sebenarnya semakin meningkat dalam kalangan masyarakat setempat.

Setakat September, syarikatnya telah mengendalikan 506 sesi perundingan, naik 15.5 peratus berbanding 438 pada 2025.

Jumlah kes baharu juga telah naik kepada 111 setakat September, berbanding 100 pada keseluruhan 2025.

Dalam bilangan kes-kes baharu ini, 76.5 peratus merupakan masyarakat Melayu/Islam, kata Cik Maimunah.

Beliau berkata antara isu utama yang paling kerap dibangkitkan oleh kliennnya merangkumi masalah pemulihan hubungan, trauma kehilangan insan tersayang, cabaran peralihan fasa kehidupan serta tekanan akibat memikul tanggungjawab sebagai penjaga.

Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama seorang kliennya semasa satu sesi terapi yang diadakan di pusat tersebut pada 9 Oktober.
Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama seorang kliennya semasa satu sesi terapi yang diadakan di pusat tersebut pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan pembukaan Alternative X, Cik Maimunah berkata pusat itu kini boleh menawarkan pelbagai khidmat bersepadu seperti kaunseling, psikoterapi, fisioterapi, latihan pergerakan, bimbingan profesional serta pembelajaran di alam semula jadi.

Semakan oleh BH mendapati tidak banyak pusat atau badan-badan yang menyediakan khidmat sehenti seumpamanya.

Antara yang menyediakan sedemikian termasuk Soma Haus, TOUCHpoint@Capital Tower, Core Collective dan Program Pemulihan & Senaman Bersepadu (iReX) Hospital St Luke.

Alternative X merupakan hasil kerjasama antara beliau dengan Encik Fabian Williams, 48 tahun, seorang pakar kejurulatihan sukan yang juga pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics.

Cik Maimunah berkata inisiatif baharu itu diharap dapat memberi manfaat besar kepada klien yang hadir dengan pelbagai isu dan keadaan, kerana mereka kini tidak perlu lagi mendapatkan rawatan secara terpisah daripada penyedia perkhidmatan yang berbeza.

Pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams (kiri) melatih seorang pengguna gimnasium di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober.
Pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams (kiri) melatih seorang pengguna gimnasium di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Orang ramai jarang datang kepada kami dengan hanya satu masalah,” kata Cik Maimunah.

“Masalah rumah tangga yang tegang akan menjejaskan keadaan fizikal seseorang, kecederaan pula mengganggu rutin sesebuah keluarga, dan kehilangan seseorang mengubah cara seseorang itu bekerja.

“Alternative X membolehkan perkara-perkara ini difahami secara menyeluruh oleh para pengamal yang benar-benar berkomunikasi antara satu sama lain, dan bukannya sekadar bercakap tanpa saling memahami.”

Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober.
Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Maimunah berkata ruang berkonsepkan perkongsian itu bukan sahaja dikhaskan untuk mereka yang sedang menghadapi krisis kehidupan atau mempunyai masalah kesihatan mental yang tertentu.

Sebaliknya, persekitaran baharu itu juga terbuka luas kepada sesiapa sahaja yang sekadar mahu berehat, melepaskan lelah daripada tekanan kehidupan seharian, atau merapatkan kembali hubungan bersama ahli keluarga.

“Kenapa kita perlu tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku kepada kita baru hendak mencari bantuan profesional?” soal Cik Maimunah, sambil menekankan kepentingan memelihara kesihatan mental dari awal.

Pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku.
Pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau berkata kesemua kemudahan dan khidmat di pusat itu diselia serta dikendalikan oleh barisan pengamal bertauliah, yang merangkumi kumpulan ahli fisioterapi berdaftar, pakar psikoterapi, barisan jurulatih peribadi berkaliber serta jurulatih sukan berlesen.

Selain menyediakan rawatan klinikal dan gimnasium, pusat itu turut menampilkan sebuah ruang alam semula jadi istimewa yang dikenali sebagai ‘Eco-Space’.

Ruang luaran itu dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau, kolam ikan, serta deruan air yang mengalir, bertujuan untuk mengajak para pengunjung memperlahankan rentak kehidupan mereka.

Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober.
Pengarah Pengasas Alternative.Minds, Cik Maimunah Mosli (kanan) bersama pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Persekitaran yang mendamaikan itu sesuai untuk ibu bapa membawa anak-anak bersenam bersama-sama atau mengikuti program penerokaan luar, sementara orang dewasa pula boleh menikmati secawan kopi menerusi sesi perbualan yang dipandu fasilitator.

Cik Maimunah memiliki Sarjana dalam Psikoterapi Sistemik Keluarga dari Universiti Middlesex dan Ijazah Sarjana Muda dalam Kerja Kemasyarakatan dengan Kepujian dari Universiti Curtin.

Encik Williams pula adalah bekas anggota Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan kini merupakan usahawan serta jurulatih sukan yang sangat berpengalaman dalam bidang latihan daya tahan dan pembangunan atlet.

Pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober.
Pengasas Fabian Williams Coaching Concepts (FWCC) dan Movement Mechanics, Encik Fabian Williams di pusat Alternative X yang terletak di 7 Jalan Saudara Ku pada 9 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Dalam sukan, kami belajar bahawa prestasi tidak pernah bergantung kepada aspek fizikal semata-mata kerana beban latihan, corak tidur, tahap tekanan dan orang di sekeliling turut memainkan peranan yang amat penting,” ujar Encik Williams.

Beliau menambah bahawa Alternative X kini mahu menawarkan sokongan menyeluruh yang sama kepada masyarakat awam, dan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan kumpulan atlet profesional.

“Kami bukan sahaja merawat masalah kesihatan anda, tetapi kami berusaha melihat anda sebagai seorang insan yang lengkap, dan ini menjadikan setiap hubungan yang dibina di sini lebih peribadi,” kata Encik Williams.