Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat lawatan satelit ke-6 dibuka di Masjid Assyakirin

Feb 28, 2025 | 7:14 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kiri) merasmikan pusat lawatan satelit di Masjid Assyakirin. Bersamanya ialah pegawai dari masjid tersebut serta Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kiri) merasmikan pusat lawatan satelit di Masjid Assyakirin. Bersamanya ialah pegawai dari masjid tersebut serta Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS). - Foto ihsan MASJID ASSYAKIRIN

Pusat Lawatan Satelit keenam di Singapura telah dilancarkan pada 19 Februari lalu di Masjid Assyakirin.

Ini merupakan usahasama antara masjid tersebut dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Pusat tersebut dirasmikan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 28 Februari, Masjid Assyakirin berkata khidmat tele-lawatan yang disediakan menerusi pusat lawatan satelit itu adalah sebahagian daripada rangkaian komprehensif perkhidmatan yang disediakannya untuk memenuhi keperluan masyarakat di Taman Jurong dan kawasan kejiranannya.

Pusat lawatan satelit itu boleh digunakan sesiapa sahaja, tidak kira bangsa atau agama. Dalam tempoh dua minggu ia mula beroperasi, pusat itu sudah dimanfaatkan 27 pengunjung Muslim dan bukan Muslim.

Idea bagi kerjasama untuk mewujudkan pusat tersebut kali pertama ditimbulkan pada 2019. Berikutan itu, satu tinjauan melibatkan lebih 100 penerima zakat dilakukan pada 2021.

Hampir separuh daripada responden tinjauan tersebut mempunyai anggota keluarga yang dipenjara.

Tinjauan itu mendapati lebih 77 peratus responden meluahkan minat menggunakan khidmat pusat lawatan satelit jika ia ditawarkan di Masjid Assyakirin.

Usaha itu selaras dengan visi sektor masjid yang terhubung yang memanfaatkan kerjasama, teknologi dan perkongsian pengetahuan untuk memastikan pengoptimuman sumber bagi memenuhi pelbagai keperluan masyarakat dengan berkesan, menurut kenyataan tersebut.

“Pelancaran Pusat Lawatan Satelit ini menandakan satu peristiwa penting dalam misi kami untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Dengan mendekatkan perkhidmatan ini dengan rumah penduduk, kami bukan sekadar menyediakan kemudahan – kami membantu mengekalkan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan yang penting semasa masa yang mencabar ini.

“Kami berharap inisiatif ini akan menggalakkan keluarga melihat masjid sebagai lebih daripada sekadar tempat beribadat, tetapi sebagai tempat perlindungan di mana mereka boleh mendapatkan sokongan dan bimbingan yang komprehensif,” kata Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Encik Faizal Abdul Rahim.

Selain pusat lawatan satelit itu, masjid tersebut juga menawarkan beberapa khidmat lain termasuk Pantri Masyarakat dan tempat tidur selamat atau ‘Safe, Sound Sleeping Places’ (S3P) bagi golongan gelandangan yang boleh dimanfaatkan individu berbilang bangsa dan agama.

Bagi keluarga Muslim pula, masjid itu menawarkan sokongan holistik tambahan melalui program seperti Kursus Asas Solat percuma dan kelas-kelas belajar Al-Quran.

Pusat Lawatan Satelit di Masjid Assyakirin beroperasi pada Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu tidak termasuk cuti umum, dan hanya boleh digunakan dengan temu janji sahaja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg