Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasil video papar usaha masjid S’pura perkukuh hubungan dengan masyarakat

Feb 14, 2025 | 5:30 AM
Penolong Pengurus, Komunikasi Pemasaran Masjid Assyafaah, Encik Abdul Karim Mislan (kiri), dan Pegawai Eksekutif Media dan Acara Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar (dua dari kiri), ketika penggambaran video bagi Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS).
Penolong Pengurus, Komunikasi Pemasaran Masjid Assyafaah, Encik Abdul Karim Mislan (kiri), dan Pegawai Eksekutif Media dan Acara Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar (dua dari kiri), ketika penggambaran video bagi Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS). - Foto ihsan MAHY UMAR

Buat kali pertama, pegawai komunikasi dari tiga masjid – Assyafaah, Alkaff Kampung Melayu, Al-Muttaqin – telah berganding bahu dalam menghasilkan dua video yang mengetengahkan usaha masjid-masjid di Singapura.

Video tersebut ditayangkan sewaktu Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) pada 8 Februari, menampilkan temu bual daripada pelbagai pegawai masjid di serata Singapura.

Mereka berkongsi mengenai usaha masjid dalam membina jambatan, memupuk kerjasama dan memperkukuh perpaduan untuk terus membangun, berkolaborasi dan berinovasi.

Video tersebut memaparkan usaha terbaik pelbagai masjid di Singapura untuk mengukuhkan hubungan antara sektor masjid dengan rakan masyarakat, merapatkan jurang generasi dengan nilai serta matlamat yang dikongsi bersama.

Sesuai dengan itu, pegawai komunikasi masjid dari ketiga-tiga masjid itu telah bergabung untuk menonjolkan usaha tersebut.

Penolong Pengurus, Komunikasi Pemasaran Masjid Assyafaah yang juga pengarah seni bagi projek itu, Encik Abdul Karim Mislan, berkata kerjasama seperti itu harus terus dilakukan kerana ia membuka peluang kepada pegawai masjid belajar antara satu sama lain.

“Setiap pegawai mempunyai kekuatan dan kepakaran yang berbeza dan dengan bekerjasama, kita dapat berkembang bersama serta meningkatkan mutu kerja dalam sektor masjid secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau menambah kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara masjid, malah, meningkatkan mutu penyampaian dan penglibatan jemaah secara lebih berkesan melalui kandungan yang lebih profesional dan bermakna.

Encik Karim menyelaraskan konsep visual, penjenamaan dan aspek kreatif, bagi memastikan hasil kerja yang bermutu selari dengan matlamat acara.

Penolong Pengurus, Komunikasi Pemasaran Masjid Assyafaah yang juga pengarah seni bagi projek itu, Encik Abdul Karim Mislan, menyambut baik kerjasama antara masjid.
Penolong Pengurus, Komunikasi Pemasaran Masjid Assyafaah yang juga pengarah seni bagi projek itu, Encik Abdul Karim Mislan, menyambut baik kerjasama antara masjid. - Foto ihsan ABDUL KARIM MISLAN

Pegawai Eksekutif Media dan Acara Masjid Alkaff Kampung Melayu yang juga juruvideo dan penyunting video tersebut, Encik Mahy Umar, berkata menerbitkan video bukan mudah kerana setiap masjid mempunyai daya utama yang berbeza.

“Pada awalnya, kebimbangan utama kami adalah kesinambungan dalam video.

“Bagaimanakah kami boleh menghubungkan setiap kisah dari satu masjid ke masjid lain tanpa kehilangan kesinambungannya?

“Bagi saya, menghubungkan semua daya utama yang berbeza ke dalam satu kisah utama adalah sesuatu yang sangat baik,” katanya.

Antara masjid yang diketengahkan dalam video tersebut ialah Masjid Wak Tanjong, yang telah membangunkan Quranbit, aplikasi yang memudahkan orang ramai mempelajari Al-Quran pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Selain itu, Masjid Al-Falah juga ditonjolkan selepas memperkenalkan program, ‘Teh & Slay’, yang memberi ruang kepada belia untuk berinteraksi dengan asatizah dalam perbincangan santai tetapi bermakna.

Antara topik yang diketengahkan adalah mengenai kesihatan mental, etika digital, hubungan dan cabaran identiti selaras dengan ajaran Islam.

Video tersebut boleh ditonton di Instagram SalamSG. – MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg