Penyewa di Pusat Makanan Laut East Coast telah dimaklumkan supaya mengosongkan premis kerana kawasan tersebut akan dibangunkan semula.

Ini termasuk perniagaan yang sudah lama beroperasi seperti kedai makan Jumbo Seafood dan Long Beach Seafood.

Pembangunan semula itu merupakan “sebahagian daripada usaha untuk memperbaharui kemudahan serta kawasan sekitarnya bagi meningkatkan pengalaman pengunjung taman”, kata Lembaga Taman Negara (NParks) selaku pemilik tanah pusat tersebut.

NParks berkata sedemikian pada 30 Mei sebagai respons kepada pertanyaan media, setelah Jumbo Seafood mengumumkan bahawa ia akan menutup cawangan utamanya apabila pajakan tamat pada 30 September.

Long Beach Seafood akan berpindah ke Coastal PlayGrove di Taman East Coast, kira-kira lapan minit perjalanan dari premis sedia ada, kata pengurus kanan kumpulan restoran itu, Encik Ryan Lim.

Cawangan baharu itu akan dibuka pada minggu pertama September.

Beberapa penyewa berkata mereka dimaklumkan oleh NParks pada 2025, bahawa mereka perlu mengosongkan premis sebaik sahaja pajakan mereka tamat pada Mac 2026.

Encik Lim berkongsi bahawa NParks menawarkan lanjutan enam bulan sehingga September, sambil menambah hanya Long Beach dan Jumbo Seafood memutuskan untuk meneruskan operasi sehingga tempoh tersebut.

“Ia memberi kami lebih masa untuk memaklumkan pelanggan dan membuat persediaan bagi cawangan baharu,” katanya.

NParks menyatakan bahawa Pusat Makanan Laut East Coast telah menjadi destinasi makan yang popular sejak ia ditubuhkan pada 1980-an.

Ia berkongsi bahawa pihaknya sedang mengkaji pembangunan semula pusat berkenaan selaras dengan rancangan jangka panjang bagi taman itu, dan maklumat lanjutan akan dikongsi apabila sudah bersedia.

“Bagi memberi masa yang mencukupi kepada penyewa untuk membuat persiapan alternatif, NParks telah memaklumkan lebih awal bahawa mereka perlu mengosongkan premis pada 2026,” ujar agensi tersebut, sambil menambah bahawa “pengaturan pajakan yang fleksibel” telah ditawarkan bagi menyokong peralihan para penyewa.

Cawangan Jumbo Seafood di Pusat Makanan Laut East Coast, yang ditubuhkan pada 1987, merupakan cawangan pertama rangkaian restoran itu.

Penutupan cawangan tersebut berkemungkinan akan menjejaskan hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2027.

Menurut syarikat induknya, Jumbo Group, ia berhasrat mengurangkan kesan tersebut melalui hasil daripada cawangan-cawangan baharu serta operasi sedia ada yang lain ketika mengumumkan penutupan itu pada 29 Mei.

Jumbo Seafood mempunyai enam lagi cawangan lain di Singapura, menurut laman web syarikat itu. Ia juga mempunyai cawangan di China, Korea Selatan, Thailand dan Kemboja.

Ketika akhbar The Straits Times (ST) melawat Pusat Makanan Laut East Coast pada 31 Mei, hanya Long Beach dan Jumbo Seafood masih beroperasi. Tiga lagi restoran yang menghadap laut telah ditutup.

Satu papan tanda di bekas premis Lux Cove Seafood menyatakan bahawa ia telah berpindah pada 20 Mac ke cawangan baharu di Scotts Road.

Dalam hantaran Instagram mereka, seorang jurucakap berkata restoran itu telah menghabiskan “lebih setahun” untuk mencari lokasi tersebut — sebuah banglo hitam putih bersejarah di kawasan Orchard.

Restoran keluarga halal Enak Enak pula kali terakhir beroperasi pada 18 Januari.

Ia mempunyai dua lagi cawangan di Bedok dan Yishun, serta mengendalikan Cafe Santai di satu lagi bahagian Taman East Coast.