Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat pemulihan barah tawar rawatan menyeluruh bawah satu bumbung

Jun 1, 2024 | 6:47 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri), yang diiringi Puan Jane Ittogi (duduk bersebelahannya), sedang mendengar pengalaman pemandiri barah, Cik Wendy Tan (kanan) semasa pembukaan Pusat Pemulihan Pusat Barah Nasional Singapura - Persatuan Barah Singapura (NCCS-SCS) pada 1 Jun.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri), yang diiringi Puan Jane Ittogi (duduk bersebelahannya), sedang mendengar pengalaman pemandiri barah, Cik Wendy Tan (kanan) semasa pembukaan Pusat Pemulihan Pusat Barah Nasional Singapura - Persatuan Barah Singapura (NCCS-SCS) pada 1 Jun. - Foto ZAOBAO

Pesakit barah kini boleh menerima rawatan klinikal dan pemulihan pelbagai disiplin di bawah satu bumbung di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dengan pembukaan pusat pemulihan barah tertiari pertama Singapura, Pusat Pemulihan Pusat Barah Nasional Singapura – Persatuan Barah Singapura (NCCS-SCS).

Pusat Pemulihan NCCS-SCS itu terletak di 30 Hospital Boulevard, berhampiran stesen MRT Outram Park, aras 16 dalam Bangunan NCCS di Kampus Hospital Besar Singapura (SGH) yang baru sahaja dibuka pada Mei 2023.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga penaung SCS, telah merasmikan pusat pemulihan itu pada 1 Jun, dalam majlis sempena ulang tahun ke-60 SCS dan ulang tahun ke-25 NCCS.

Sambutan Hari Pemandiri Barah SCS turut diraikan bagi mengetengahkan perjalanan luar biasa individu cekal ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NCCS, Profesor Lim Soon Thye, menjelaskan terdapat bukti kukuh bahawa pemulihan memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak barah dan kesan sampingan rawatannya.

“Pada masa lalu, pesakit NCCS yang memerlukan pemulihan dirujukkan ke perkhidmatan seperti fisioterapi, pakar pemakanan, pertuturan dan terapi kerja yang bertempat di lokasi berbeza merentasi Kampus SGH.

“Kini, dengan pembukaan Pusat Pemulihan NCCS-SCS, pusat pemulihan barah tertiari pertama di Singapura, pesakit dengan mudah dapat menerima jagaan klinikal dan pemulihan berbilang disiplin di bawah satu bumbung di NCCS,” jelasnya.

Pusat Pemulihan NCCS-SCS itu akan dikendalikan pasukan penjagaan kesihatan profesional pelbagai disiplin.

Pasukan itu akan merangka pelan penjagaan pemulihan yang selamat dan cekap untuk setiap pesakit, mengambil kira sebarang gejala atau kesan sampingan berkaitan rawatan yang mungkin dialami pesakit.

Antara pesakit yang dirujuk ke Pusat Pemulihan NCCS-SCS adalah pesakit yang sedang bersedia untuk memulakan rawatan barah, mereka yang sedang dirawat, atau baru sahaja selesai rawatan.

Selaras dengan strategi SG Lebih Sihat, selepas pesakit menyelesaikan penjagaan pemulihan tertiari, mereka akan dipindahkan kepada penyedia pemulihan masyarakat dalam memastikan mereka kekal disokong dengan baik dalam masyarakat.

Pusat Pemulihan NCCS-SCS menyediakan perkhidmatan kepada semua pesakit barah secara rujukan. Penjagaan menyeluruh disediakan dengan pembiayaannya bergantung kepada keadaan perubatan pesakit dan perkhidmatan pemulihan yang diperlukan.

Sebagai contoh, bayaran rundingan bersama doktor pemulihan bagi warga Singapura bermula daripada $31, dengan subsidi pemerintah, manakala bayaran untuk perkhidmatan kesihatan bersekutu untuk rakyat Singapura, bermula daripada $11 hingga $21 untuk setiap sesi, dengan subsidi pemerintah, bergantung kepada jenis terapi yang diperlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg