Selepas lebih 20 tahun beroperasi, Pusat Pengunjung NEWater (NVC) dan Kilang AirBaru Bedok (BNF) ditutup secara rasmi.
Majlis penutupan anjuran agensi air negara, PUB itu menandakan berakhirnya peranan penting kededua kemudahan tersebut dalam Kisah Air Singapura, serta transformasi pengurusan air terpakai.
NVC, yang dibuka pada 2003, mempromosikan kemampanan air kepada pengunjung melalui lawatan, pameran interaktif dan bengkel secara percuma.
Namun pelawat masih boleh ke Galeri Singapura Lestari (SSG) di Bendungan Marina untuk belajar tentang Kisah Air Singapura, yang memaparkan AirBaru sebagai salah satu komponen strategi pengurusan air di sini.
BNF akan diganti di Changi dan sedang dibina. Ia terletak dalam kawasan Loji Pemulihgunaan Air (WRP) Changi yang sedia ada. Terdapat dua lagi kilang AirBaru lain di WRP Changi.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, menghadiri majlis yang berlangsung di NVC di Bedok pada 27 September sebagai tetamu terhormat bersama lebih 100 tetamu.
Dalam ucapannya, Cik Fu berkata permintaan air Singapura dijangka bertambah hampir seganda menjelang 2065.
Beliau menambah perjalanan AirBaru Singapura tidak berhenti dengan penutupan NVC dan BNF.
“Dengan lebih banyak pembinaan kilang AirBaru di Singapura, negara kini mencatat kemajuan dalam rancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan pengeluaran AirBaru,” kata Cik Fu.
Pembinaan kilang AirBaru Changi ketiga yang menggantikan BNF bakal menghasilkan kapasiti 50 juta gelen air sehari (mgd), lebih banyak daripada BNF yang hanya mengeluarkan sebanyak 18 mgd, tambah beliau.
Manakala, kilang AirBaru keenam di Singapura yang terletak di Tuas, yang kapasiti asalnya hanya sejumlah 25 mgd, bakal menghasilkan 75 mgd bersamaan dengan keluasan 136 kolam renang Olimpik, menurut kenyataan PUB pada 27 September.
PUB berkata: “Tender pembinaan bagi peluasan kapasiti kilang itu akan dilancarkan hujung tahun ini (2024).”
Lantas, PUB bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta, Aquaporin Asia, dalam menggunakan air penjimatan tenaga baru bagi kesemua kilang AirBaru sebanyak 20 peratus, tambah Cik Fu.
Kini, terdapat empat Kilang AirBaru yang beroperasi di Singapura – Kranji, Ulu Pandan, dua di Changi – manakala dua lagi sedang dibina – Changi dan Tuas.
Sementara itu, PUB juga sedang berusaha untuk meningkatkan kadar pemulihan AirBaru daripada 85 peratus kepada 90 peratus dengan teknologi Flow-Reversal dalam membran Osmosis Berbalik (Reverse Osmosis).
“Ini bermakna kita dapat menghasilkan lebih banyak AirBaru daripada jumlah air terpakai yang sama,” ujar Cik Fu.
Teknologi tersebut bakal digunakan Kilang AirBaru Changi baru itu dan juga diterapkan dalam reka bentuk loji AirBaru pada masa hadapan.
PUB, juga akan mengembangkan kapasiti rawatan air terpakai dan prasarana AirBaru.
Usaha pembinaan semula WRP Kranji dan Kilang AirBaru Kranji (KNF) sedang dalam perancangan, manakala WRP Changi akan menjalani fasa ketiga peluasan seterusnya dalam meningkatkan kapasiti rawatan air terpakainya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg