Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat penuaan aktif di Boon Lay sedia permainan Nintendo, kelas terbang dron

Jan 3, 2026 | 7:21 PM
Desmond Lee, DrJanil Puthucheary, boon lay
Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee (dua dari kanan), mencuba permainan di pusat penuaan aktif di Boon Lay pada 3 Januari. Turut memerhatikan ialah (kanan) Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), DrJanil Puthucheary. - Foto ST

Penduduk warga emas di Boon Lay boleh menjangkakan kegiatan menarik seperti permainan arked dengan pembukaan pusat penuaan aktif (AAC) yang baru.

PCF Sparkle Care @ Boon Lay, yang terletak di Blok 631 Jurong West Street 65 di Boon Lay, telah dilancarkan pada 3 Januari.

Berucap semasa acara tersebut, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata memandangkan Singapura akan menjadi masyarakat yang memiliki ramai warga emas pada 2026, lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk golongan itu.

Sesebuah negara menjadi masyarakat ramai warga emas apabila 21 peratus daripada penduduknya melebihi umur 65 tahun, seperti yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menjelang 2030, satu perempat daripada rakyat Singapura akan berusia 65 tahun ke atas, meningkat daripada satu dalam sekitar enam orang pada masa ini.

Di kemudahan Boon Lay itu, warga emas boleh menikmati antara lain, kafe dengan kopi dan teh percuma, menghadiri kelas dron serta ruang yang selesa untuk bermain dart atau permainan video di Nintendo Switch – semuanya dalam kawasan seluas 4,843 kaki persegi.

Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, berkata lebih 400 penduduk telah mendaftar sebagai anggota di sana.

Ketua pegawai operasi PCF Sparkle Care, Encik Andy Seet, berkata warga emas di Boon Lay berkata mereka mahukan ruang yang menyerupai rumah kelab untuk berhubung dengan orang lain.

Beliau berkata: “Pusat ini adalah tempat mencetuskan minat baru, menjalin persahabatan dan hidup dengan tujuan yang bersemangat.

“Ketika kami mengembangkan rangkaian, komitmen kami adalah jelas: untuk mengubah pengalaman penuaan daripada menjadi tua kepada terus berkembang bersama Sparkle.”

Satu inisiatif kebangsaan, Age Well SG atau Sihat Menua SG, dilancarkan pada 2023 untuk membantu menyokong golongan yang sedang menua dan penduduk lanjut usia, dengan memberi tumpuan kepada penjagaan pencegahan dan memastikan mereka aktif serta terlibat dalam masyarakat.

Encik Lee berkata Sihat Menua SG adalah usaha seluruh Singapura untuk membuat persiapan dengan baik supaya penuaan menjadi satu yang memberikan manfaat.

Beliau berkata: “Kita mesti melakukannya dengan cara yang sangat sistematik dan kita mesti melakukannya dengan tumpuan yang kuat untuk membina hubungan dan membina masyarakat.”

Kira-kira $800 juta telah diperuntukkan untuk menyokong usaha mempertingkatkan AAC bagi tahun kewangan dari 2024 hingga 2028.

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau pada 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan lanjutan program itu, yang dipanggil inisiatif Age Well Neighbourhoods atau Kejiranan Sihat Menua, yang bertujuan menyediakan warga emas dengan akses mudah kepada kegiatan sosial dan penjagaan kesihatan di kawasan kejiranan mereka.

Ini termasuk lebih banyak AAC, akses kepada perkhidmatan berasaskan rumah dan lebih banyak kemudahan penjagaan kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg