Pusat Pertukaran Bas Woodleigh di kawasan perumahan Bidadari yang pembukaannya tertunda, akan dibuka kepada orang awam pada 20 April, manakala pusat pertukaran bas baru di Hab Pengangkutan Bersepadu (ITH) di Pasir Ris akan menerima penumpang pada 27 April, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Di Bidadari, beberapa perubahan akan dibuat pada perjalanan perkhidmatan bas 146 serta terdapat penambahan perkhidmatan bas 148 baru.
Kededua bas akan berhenti di Pusat Pertukaran Bas Woodleigh yang baru, tambah LTA pada 3 April.
Perkhidmatan bas 146 akan beroperasi dari pusat pertukaran bas baru itu dan melalui kededua arah sepanjang Bidadari Park Drive, dan berhenti di empat perhentian bas tambahan.
Perkhidmatan bas 148 akan beroperasi sebagai perkhidmatan lingkaran atau loop service, antara Pusat Pertukaran Bas Woodleigh dengan Potong Pasir, menghubungkan penduduk dengan pelbagai kemudahan di estet Bidadari dan Potong Pasir.
Antara kemudahan yang tersedia termasuk pusat beli-belah Woodleigh Mall, Pusat Penjaja Woodleigh, Kelab Masyarakat Bidadari, Poliklinik Bidadari yang bakal dibuka, Sekolah Tinggi Maris Stella dan Sekolah Menengah St Andrew’s.
Pusat Pertukaran Bas Woodleigh bawah tanah yang dikendalikan SBS Transit ini, merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Woodleigh Village, yang merangkumi 330 unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pusat penjaja.
Pusat Pertukaran Bas Woodleigh pada asalnya dijadualkan untuk siap pada 2021, seiring dengan penyiapan projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan perumahan Bidadari.
Namun, pembinaannya tertangguh dek pandemik Covid-19 serta beberapa masalah kejuruteraan.
Projek BTO yang bersambung dengan Stesen MRT Woodleigh itu, dibuka untuk penjualan pada November 2016, dan blok terakhirnya siap dibina pada November 2022, lapor The Straits Times (ST).
Di Pasir Ris, semua 17 perkhidmatan bas awam yang beroperasi dari Pusat Pertukaran Bas Pasir Ris sedia ada akan dipindahkan ke pusat pertukaran baru tanpa sebarang perubahan pada laluan atau perhentian bas, menurut LTA.
Selain itu, lokasi khas untuk mengambil dan menurunkan penumpang bagi bas ulang-alik yang membawa anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ke Terminal Feri SAF di Changi juga akan dipindahkan bersebelahan dengan pusat pertukaran baru itu.
Bas ulang-alik ini digunakan oleh para anggota yang ingin ke Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) di Pulau Tekong.
Pusat Pertukaran Bas Pasir Ris baru ini terletak di dalam ITH yang bersambung dengan pusat beli-belah Pasir Ris Mall, yang telah dibuka pada Julai 2024, menurut LTA.
Pembangunan ini turut merangkumi kondominium, plaza kejiranan dan poliklinik.
Dikendalikan Go-Ahead Singapore, ITH Pasir Ris akan menyediakan akses kepada tiga laluan MRT iaitu Laluan Timur-Barat (EWL) yang sedia ada, Laluan Rentas Pulau (CRL) yang sedang dibina, serta sambungan CRL ke Punggol.
LTA memohon kerjasama orang ramai sementara pengendali bas menyesuaikan diri dengan operasi di pusat pertukaran bas yang baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg