‘Pusat Polis Kejiranan’ palsu S’pura ditemui di kompleks penipuan Kemboja
‘Pusat Polis Kejiranan’ palsu S’pura ditemui di kompleks penipuan Kemboja
Kompleks tersebut berada dalam bangunan enam tingkat yang dirampas pihak tentera semasa pertempuran antara Thailand, Kemboja pada Disember 2025
Satu ruang yang menyerupai Pusat Polis Kejiranan (NPC) di Singapura telah ditemui oleh tentera Thailand di satu kompleks penipuan yang terbiar di bandar O’Smach, Kemboja.
Kompleks berupa bangunan enam tingkat itu telah dirampas pihak tentera semasa pertempuran antara Thailand dengan Kemboja pada Disember 2025.
Ia mempunyai beberapa bilik yang menyerupai balai polis dari pelbagai negara, termasuk Brazil, China, Australia dan Singapura.
Menjawab pertanyaan pada 3 Februari, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pihak berkuasa Thailand telah menemui satu “muka bangunan yang menyerupai pusat polis kejiranan pasukan polis Singapura”.
Gambar-gambar kompleks itu yang diambil oleh media tempatan turut menunjukkan latar belakang berwarna biru dengan perkataan ‘Police Woodlands East NPC’ di sebelah replika lambang SPF.
Lebih 800 kad SIM yang membolehkan komunikasi antarabangsa tanpa pengenalan pengguna, serta lencana polis palsu dan pakaian seragam polis, turut dirampas di kompleks tersebut, lapor agensi berita, Reuters.
Pegawai kanan tentera Thailand berkata kompleks itu pernah menempatkan ribuan orang. Antaranya merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang telah dipaksa supaya menipu orang awam.
Bangunan itu juga dipenuhi dokumen, termasuk senarai panjang apa yang dipercayai nama mangsa yang disasarkan dan maklumat hubungan mereka, serta skrip dialog penipuan, kata Reuters.
Polis Singapura mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis.
Mereka turut diingatkan agar tidak berkongsi skrin peranti dengan individu yang tidak dikenali.
Pegawai pemerintah Singapura tidak akan sesekali meminta orang ramai melalui panggilan telefon untuk memindahkan wang, mendedahkan butiran log masuk bank, memasang aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada pihak polis, tambah mereka.

