Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat riadah Soon Lee, Kaki Bukit dinaik taraf penuhi keperluan pekerja migran

Dec 15, 2024 | 7:23 PM
Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan See Leng (kanan) berinteraksi dengan hadirin sempena sambutan Hari Migran Antarabangsa (IMD) pada 15 Disember di Taman Tasik Jurong.
Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan See Leng (kanan) berinteraksi dengan hadirin sempena sambutan Hari Migran Antarabangsa (IMD) pada 15 Disember di Taman Tasik Jurong. - Foto ST

Pusat riadah yang kerap dikunjungi pekerja migran di kawasan Soon Lee (dalam daerah Pioneer) dan Kaki Bukit akan menjadi lokasi percubaan bagi konsep rekaan inovatif, kata Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan See Leng.

Berkata demikian semasa berucap dalam acara sambutan Hari Migran Antarabangsa (IMD) pada 15 Disember, Encik Tan berkata usaha sedemikian dilakukan bagi penuhi keperluan pekerja migran dengan lebih baik – menjangkau aspek perumahan dan penjagaan kesihatan mereka.

“Kami juga ingin pertingkatkan pilihan sosial dan rekreasi bagi pekerja migran. Buat masa ini, kami ada sembilan pusat riadah di serata Singapura.

“Saya rasa masih ada lebih banyak yang boleh dilakukan untuk membuat pusat riadah lebih menarik bagi pekerja migran… kami sedang merancang untuk menaik taraf pusat riadah sedia ada untuk memenuhi keperluan yang kian berkembang dan merintis inovasi baru.

“Satu idea yang kami sedang teroka adalah menerapkan perkhidmatan pemerintah yang penting kepada pusat riadah,” kata Encik Tan.

Acara yang berlangsung di Taman Tasik Jurong dan disertai lebih 10,000 hadirin itu dianjurkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan beberapa rakan kongsi yang terdiri daripada badan bukan pemerintah (NGO) dan syarikat.

Pusat riadah, yang dikendalikan pertubuhan berbeza di sini, merupakan tempat pekerja migran membeli barangan runcit, telefon bimbit dan kad SIM, antara lain, dan terletak berdekatan dormitori kawasan pekerja migran.

MOM menyatakan usaha peningkatan pusat riadah yang sedia ada bertujuan mengubah ruang sedemikian kepada persekitaran yang lebih meriah, sekali gus meningkatkan mutu pusat riadah tersebut.

Ini sedang keperluan rekreasi dan sosial bagi pekerja migran terus berkembang, ujar MOM, sambil menambah bahawa kededua pusat riadah dekat Soon Lee dan Kaki Bukit sedang menjalani projek pembangunan semula.

MOM berkata projek pembangunan semula ini dijadualkan selesai pada awal 2030-an.

Malah, pusat riadah Soon Lee akan dibangunkan semula menjadi Hab Riadah apabila siap, tambah MOM, dengan kemudahan ini akan merangkumi ruang lebih besar dan akses lebih mudah kepada perkhidmatan pemerintah yang penting, serta menawarkan lebih banyak pilihan makanan dan minuman (F&B) atau runcit.

MOM turut berkata ia akan mengambil alih pengendalian pusat riadah Kaki Bukit dan Woodlands daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), sambil menambah ia akan membentangkan cadangan bagi melantik rakan kongsi luar untuk mengendalikan kedua-dua pusat riadah sedemikian pada separuh pertama 2025.

Di samping itu, Encik Tan turut menyaksikan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pusat Pekerja Migran (MWC) dengan khidmat guaman percuma Pro Bono SG.

Dalam satu kenyataan berasingan, MWC berkata ia akan memudahkan akses perkhidmatan undang-undang kepada pekerja asing secara lebih luas melalui Pusat Undang-undang Pekerja Migran yang baru di bawah MOU ini.

Pusat tersebut akan dilancarkan pada suku pertama 2025, dijana oleh Dana Bantuan Pekerja Migran (MWAF) bagi memberi nasihat guaman dan perwakilan bagi golongan ini dan akan terletak di 579 Serangoon Road.

Pekerja migran yang inginkan khidmat atau nasihat undang-undang asas pada masa ini boleh mendapatkannya melalui Klinik Undang-undang Percuma kendalian secara bersama MWC dan Khidmat Pro Bono Law Society, menurut laman MWC.

Pengerusi Pro Bono SG, Encik Gregory Vijayendran, berkata kerjasama ini memaparkan komitmen kukuh demi “mewujudkan kapasiti untuk perubahan”.

“Dengan membina jalinan bagi mengakses keadilan, kami memperkasakan komuniti pekerja migran kita untuk mengharungi cabaran dengan penuh yakin,” ujarnya.

Pengarah Eksekutif MWC, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Michael Lim, berkata pihaknya sedia maklum cabaran yang dihadapi pekerja migran dalam mengakses perkhidmatan undang-undang disebabkan kekurangan sumber untuk mendapatkan khidmat peguam dan kesukaran berbahasa.

Oleh itu, MOU ini “dapat memberi akses undang-undang lebih baik” kepada pekerja migran dan ia langkah penting “dalam memastikan setiap pekerja di Singapura disokong dan dihargai”, tambah beliau.

Acara sambutan sempena IMD turut diadakan di beberapa pusat riadah lain serata Singapura. Pusat bagi Pekerja Pembantu Rumah (CDE) juga menganjurkan sambutan sempena IMD di Resorts World Sentosa pada 8 Disember bagi mengiktiraf sumbangan pekerja pembantu rumah (MDW), yang dihadiri hampir 1,000 (MDW) dan majikan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg