Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Sukan Yio Chu Kang, taman baru Sengkang antara idea ubah wajah kawasan timur laut

Jul 1, 2024 | 7:52 PM
Pusat Sukan Yio Chu Kang kini menempatkan kompleks renang, dewan sukan serbaguna, pusat skuasy, pusat tenis, gimnasium, dan stadium dengan balapan dan padang larian.
Pusat Sukan Yio Chu Kang kini menempatkan kompleks renang, dewan sukan serbaguna, pusat skuasy, pusat tenis, gimnasium, dan stadium dengan balapan dan padang larian. - Foto ST

Pusat Sukan Yio Chu Kang boleh dibangunkan semula apabila kawasan sekitar stesen MRT Yio Chu Kang dijadikan hab bagi kemudahan sukan, kesejahteraan dan penjagaan kesihatan – satu rancangan yang sedang diteliti.

Rancangan mengubah kawasan itu dipaparkan dalam satu pameran jelajah di One Punggol, yang memperinci pelbagai kemudahan riadah sedia ada dan masa depan bagi kawasan timur laut Singapura, termasuk sebuah taman baru di Sengkang West.

Dianjurkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), pameran jelajah itu adalah sebahagian usaha pendekatan awam oleh agensi itu bagi Pelan Induk Riadah URA akan datang, yang akan diterapkan ke dalam Draf Pelan Induk URA 2025.

Pusat Sukan Yio Chu Kang, yang siap dibina pada pertengahan 1980-an, menempatkan kompleks renang, dewan sukan serbaguna, pusat skuasy, pusat tenis, gimnasium, dan stadium dengan balapan serta padang.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), URA dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) menarik perhatian terhadap usia pusat itu, dan berkata pihak berkuasa sedang mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cara menyegarkan pelbagai kemudahan di kawasan itu bagi “memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat yang kian berkembang”.

Pelan yang dipamerkan itu menunjukkan bahawa kawasan berhampiran Koridor Utara-Selatan yang bakal dibina, Ang Mo Kio Avenue 8 dan jejambat MRT boleh digunakan sebagai pusat kegiatan bagi masyarakat di situ, manakala ruang yang kini menempatkan pusat sukan – antara Ang Mo Kio Avenue 9, jejambat MRT dengan Politeknik Nanyang pula boleh menempatkan kemudahan sukan, kesejahteraan dan penjagaan kesihatan.

Dalam panel pameran itu, URA menjelaskan bahawa usaha membawa pelbagai kemudahan tersebut lebih dekat kepada masyarakat di sekitar Yio Chu Kang akan menyokong kehidupan aktif dan penuaan bagi penduduknya.

Sebelum ini, pemerintah mengumumkan bahawa Yio Chu Kang akan menjadi bandar pertama di Singapura yang “mesra demensia” menjelang 2025.

Sekitar 40 peratus penduduknya kini berusia sekurang-kurangnya 65 tahun.

Menurut URA, pilihan tempat makan dan kedai runcit boleh ditambah, yang “disambungkan secara bersepadu ke Koridor Utara-Selatan dan laluan perjalanan ulang-alik serta basikal riadah yang lebih besar di kawasan timur laut”.

URA dan SportSG menambah bahawa rancangan menghidupkan semula kawasan itu boleh meningkatkan pengalaman berjalan kaki dan berbasikal, terutama bagi mereka yang membuat perjalanan ke stesen MRT, Politeknik Nanyang dan Taman Perusahaan Ang Mo Kio 3.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg