Menyediakan lebih banyak kawasan di sekitar pusat beli-belah sebagai tempat khas untuk meletak kenderaan beroda dua dengan tempoh tidak berbayar lebih lama, selain menambah penanda arah bagi kemudahan kakitangan penghantaran.
Demikian antara usulan yang diketengahkan kumpulan kerja tiga pihak.
Ia merupakan hasil saranan yang dikongsi semasa sesi pendekatan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan tahap akhir proses penghantaran dapat dibuat dengan selancarnya.
Kumpulan kerja tiga pihak yang ditubuhkan pada November 2023 itu telah mula mendekati pihak berkepentingan dalam sektor penghantaran dalam usaha meningkatkan kelicinan penghantaran tahap akhir.
Ia bagi memastikan keselamatan pekerja platform e-dagang serta mengurangkan sebarang kesulitan yang disebabkan oleh pengambilan dan penghantaran barangan.
Kumpulan kerja itu yang diketuai bersama oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) turut disertai wakil daripada pihak pembangunan, kesatuan sekerja, persatuan industri dan agensi berkaitan.
Dari Disember 2023 hingga Mei 2024, kumpulan kerja tiga pihak itu telah menjalankan tiga tinjauan dan menerima lebih 2,000 maklum balas.
Tinjauan itu mengetengahkan amalan yang terdapat di 416 kondominium, 153 pusat beli-belah dan 112 bangunan pejabat.
Antara cabaran utama yang diketengahkan termasuk kurangnya tempat menunggu penghantaran, jarak perjalanan jauh dari tempat letak kenderaan ke tempat pengambilan barang, serta susun atur pembangunan mengelirukan dan kurangnya penanda arah.
Kakitangan penghantaran yang bertanggungjawab melaksanakan amanah memastikan barangan yang dipesan dihantar kepada si pembeli juga berdepan dengan cabaran seperti tidak dibenarkan masuk ke sesetengah kondominium atau terpaksa menanggung kos meletak kenderaan yang tinggi.
Di sebahagian pusat beli-belah atau pejabat pula, didapati tempoh tidak berbayar untuk meletak kenderaan pula didapati terlalu singkat, ditambah pula dengan kos parkir yang mahal dan ia perlu ditanggung sendiri oleh petugas penghantaran.
Kekurangan parkir atau kawasan menunggu yang dikhususkan, misalnya di pusat beli-belah, boleh menyebabkan kenderaan atau basikal penghantaran diletak secara sebarangan di laluan pejalan kaki dan jalan raya – sekali gus berpotensi menghalang pejalan kaki dan menjejas laluan kenderaan lain.
Satu perbincangan kumpulan fokus tertutup telah diadakan pada 26 Jun.
Ia dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.
Ia melibatkan lebih 60 peserta mewakili pelbagai pihak – daripada wakil bangunan dan kakitangan penghantaran.
Semasa berucap di sesi itu, Encik Lee berkata:
“Kita mendapat manfaat daripada e-dagang tetapi apabila ia berkembang, akan ada isu yang perlu diselesaikan supaya ia menjadi lebih berkesan.
“Lebih penting lagi memastikan (kakitangan penghantaran) menikmati pengalaman lebih baik agar kita semua dapat meraih manfaat.”
Salah seorang yang terlibat dalam perbincangan kumpulan fokus itu ialah Encik Mohammad Shaffiee Abdullah, 43 tahun.
Berkongsi dengan Berita Harian, Encik Shaffiee, yang sudah empat tahun bertugas sebagai pekerja penghantaran makanan, berkata kurangnya parkir yang dikhususkan bagi kakitangan penghantaran terutama di pusat beli-belah merupakan antara cabaran besar yang dihadapi.
“Kebanyakan (pusat beli-belah) tak ada tempat untuk kami letak kenderaan kami, jadi ramai yang buat illegal parking (letak kenderaan secara haram) di luar, lepas itu mereka disaman, ada yang kena clamp (kenderaan dikapit pihak penguasa),” katanya.
Saman yang perlu dibayar ialah antara $50 dengan $200, katanya, yang pernah mengalami sendiri basikal guna kuasa (PAB) miliknya dikapit.
“Pendapatan kami tak seberapa dalam sehari dan apabila disaman, ia makan lebih daripada apa yang kami dapat dalam sehari,” tambah beliau.
Kumpulan kerja tiga pihak yang ditubuhkan itu akan mengkaji saranan yang diberikan dalam sesi kumpulan fokus pada 26 Jun itu serta sesi-sesi pendekatan akan datang untuk mencari penyelesaian yang sesuai.
Penyelesaian itu akan dibentangkan semasa pameran pada hujung 2024 sebagai sebahagian usaha pendekatan awam Draf Pelan Induk URA 2025 bagi menggalak ia diterima pakai secara meluas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg