Tanpa sebarang pengalaman perniagaan, Encik Adam Ong, 33 tahun, tekad membuka sebuah pusat tuisyen kerana terpanggil untuk berkongsi ilmu dengan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’.
Namun begitu, selama enam bulan beliau membayar sewa untuk pusat tuisyen itu, tanpa seorang pelajar pun yang mendaftar.
“Saya membuka pusat tuisyen ‘Mad Max Tuition Centre’ pada 2023 tanpa pelajar, tanpa pendapatan dan tanpa pengalaman, (perbuatan) amat bodoh,” katanya dalam catatan TikTok yang telah ditonton 56.7 ribu kali.
Berkelulusan sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan sebelum ini bekerja sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Keppel Corporation, Encik Adam dalam perkongsiannya di TikTok berkata bahawa ia mengambilnya hampir dua tahun sebelum perniagaannya mendapat perhatian dan mampu menghasilkan pendapatan.
“Saya tidak ada sokongan keluarga atau teman-teman. Mereka semua katakan saya akan kehilangan semua wang simpanan saya. Mereka hampir tepat.”
Encik Adam pernah mengajar tuisyen selama 12 tahun sebelum ini, dan dengan azam yang kuat, membuka pusat tuisyen di Katong Plaza.
“Duit simpanan sudah makin kurang, dan lagi sebulan saya ingin menyerah dan beritahu isteri saya, saya sudah membuat kesilapan, tetapi beliau menyarankan saya cuba buat penstriman langsung.
“Saya tidak sangka idea itu berjaya menghambat minat pelajar, dan dari situ ramai pelajar mengikuti, dan sewaktu penstriman langsung pada musim peperiksaan, video itu mendapat satu juta likes dan saya sudah mula mendapat pelajar di pusat tuisyen.”
Menurut Encik Adam yang berketurunan kacukan Melayu dan Cina, mengajar di pusat tuisyen adalah satu-satunya cara untuk beliau mengajar ramai pelajar dalam satu masa. Dalam penstrimannya, beliau dapat menunjukkan caranya yang tersendiri yang menarik minat pelajar.
“Terdapat ramai pelajar yang berhadapan cabaran dengan mata pelajaran Matematik dan mereka boleh terima gaya pengajaran saya yang membolehkan mereka memahami kandungan apabila mereka tidak dapat menyelesaikannya dalam bilik darjah biasa,” jelas Encik Adam.
Kini akaun TikTok Encik Adam mempunyai lebih 21.5 ribu pengikut.
Dalam satu kandungan yang ‘viral’, Encik Adam menerangkan konsep ‘pulley’ (takal) dengan menggunakan video untuk memberi gambaran visual kepada pelajar. Beliau berharap kandungannya dapat memudahkan pemahaman untuk pelajar.
Dengan dedikasi yang kuat, Encik Adam berharap dapat membantu pelajar membangunkan minda yang positif dan sikap suka belajar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg