Topik diikuti
Pergi ke BHkuPutera Mahkota Brunei lawat Masjid Sultan, Taman Warisan Melayu
Sebahagian lawatan rasmi ke S’pura lima hari atas undangan Perdana Menteri Lawrence Wong
Putera Mahkota Brunei lawat Masjid Sultan, Taman Warisan Melayu
Putera Mahkota Brunei, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, telah mengunjungi dua tapak warisan Melayu utama di Singapura, iaitu Masjid Sultan dan Taman Warisan Melayu (TWM), pada 1 Oktober untuk mendalami aspek sejarah dan warisan hidup yang dikongsi oleh Singapura dan Brunei.
Lawatan Putera Al-Muhtadee Billah ke kedua-dua tempat itu merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi ke Singapura dari 28 September hingga 2 Oktober atas undangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Putera Al-Muhtadee Billah turut mempengerusikan bersama Encik Wong, Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei yang ke-12, yang edisinya kali ini diadakan di sini.
Sejak dilancarkan pada 2013, YLP telah mengukuhkan hubungan peribadi antara Brunei dengan Singapura, khususnya antara pemimpin generasi muda.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang mengiringi Putera Mahkota Brunei itu ke Masjid Sultan dan TWM, berkongsi dalam satu catatan Facebook pada 1 Oktober bahawa lawatan tersebut mengingatkan kedua-dua negara tentang “warisan dan budaya” yang dikongsi bersama.
Diiringi oleh Encik Zaqy, Putera Al-Muhtadee Billah diberi penerangan tentang sejarah Masjid Sultan serta pelbagai program yang dianjurkannya.
Ini termasuk melawat bahagian bumbung masjid tersebut yang menghadap pemandangan kawasan Kampong Gelam.
Lawatan kemudian diteruskan ke TWM, di mana Putera Al-Muhtadee Billah diperkenalkan dengan beberapa koleksi yang dipamerkan.
Antaranya adalah Congkak Petalawati, sebuah congkak berukuran hampir dua meter yang merupakan artifak terbesar dipamerkan di situ dan menampilkan unsur kesenian tradisional Kelantan.
TWM dibuka semula pada April 2026 selepas ditutup selama lebih tiga tahun untuk menjalani kerja-kerja naik taraf.
Di TWM, Putera Al-Muhtadee Billah turut berpeluang mencuba tulisan Lontara, sejenis aksara Nusantara, dengan menekap dan mencetak nama beliau dalam tulisan tradisional tersebut.
Menyifatkan kedua-dua tempat tersebut “kaya dengan sejarah dan warisan hidup masyarakat Melayu kita”, Encik Zaqy berkata:
“Di kedua-dua tempat ini, saya diingatkan betapa banyaknya warisan dan budaya yang dikongsi bersama oleh Singapura dan Brunei.”
“Ini termasuk pencalonan pelbagai negara yang baru-baru ini kita lakukan bersama Indonesia dan Malaysia bagi memasukkan tarian zapin ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).”
“Saya berharap dapat terus memperkukuh hubungan persahabatan yang erat dan telah terjalin sekian lama antara Singapura dengan Brunei.”
Lawatan Putera Mahkota Brunei ke tapak-tapak warisan tersebut merupakan sebahagian daripada program lebih luas yang merangkumi bidang seperti pelabuhan, pertahanan, teknologi, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Ini termasuk mengadakan lawatan ke Pelabuhan Tuas, Bandar Safti, Singapore Oceanarium di Sentosa, dan Institut Perubatan Biodiversiti SingHealth Duke-NUS, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).