Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura komited perkukuh hubungan pertahanan bersama Brunei
S’pura komited perkukuh hubungan pertahanan bersama Brunei
Singapura kekal komited untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan dengan Brunei Darussalam pada tahun-tahun mendatang.
Menyatakan demikian melalui satu kenyataan pada 30 September, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menjalin interaksi selama hampir 50 tahun lalu.
“Sepanjang lima dekad lalu, SAF dan ABDB telah berinteraksi secara kerap menerusi lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional serta latihan dua hala dan pelbagai hala.
“Interaksi ini telah memperkukuh kerjasama dan memperdalam persefahaman bersama dalam kalangan anggota kedua-dua angkatan bersenjata.
“Singapura kekal komited untuk membina asas kukuh ini dan terus mempererat hubungan pertahanan dengan Brunei Darussalam pada tahun-tahun mendatang,” kata Mindef.
Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli lawatan Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Putera Al-Muhtadee Billah, ke Safti City pada 30 September.
Lawatan itu dihoskan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei, Dato Mohammed Riza dan diiringi Panglima Angkatan Tentera Singapura, Laksamana Madya, Aaron Beng, serta pegawai kanan dari Singapura dan Brunei Darussalam.
Semasa lawatan itu, Putera Al-Muhtadee Billah diberi taklimat mengenai peranan Safti City dalam latihan pertempuran bandar SAF.
Ini meliputi tinjauan kemudahan sambil menyaksikan demonstrasi simulasi medan pertempuran serta penerbangan dron Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR).
Beliau turut berpeluang menembak menggunakan Singapore Assault Rifle 21 (SAR 21) dan senapang penembak Sako TRG-22.
Lawatan rasmi beliau ke Singapura hingga 2 Oktober diadakan atas undangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sempena Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-12.