Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera William akan lawat S’pura bagi sampaikan Hadiah Earthshot 2023

Oct 24, 2023 | 6:08 PM
ANUGERAH ALAM SEKITAR: Putera William akan ke Singapura pada November untuk penyampaian hadiah kepada pemenang yang membangunkan penyelesaian kepada  masalah alam sekitar.
ANUGERAH ALAM SEKITAR: Putera William akan ke Singapura pada November untuk penyampaian hadiah kepada pemenang yang membangunkan penyelesaian kepada masalah alam sekitar. - Foto AFP

LONDON: Putera William dari Britain akan berkunjung ke Singapura pada November untuk majlis penyampaian Hadiah Earthshot tahunan yang menganugerahkan £1 juta ($1.67 juta) kepada setiap daripada lima pemenang yang membangunkan penyelesaian kepada pelbagai masalah alam sekitar, kata Istana Kensington pada Selasa.

Menurut laporan The Straits Times, Putera William, putera sulung Raja Charles yang juga pewaris takhta seterusnya, akan disertai oleh para aktivis, penggubal dasar dan pembawa inovasi di majlis penganugerahan Hadiah Earthshot pada 7 November ini.

Hadiah Earthshot tersebut diasaskan oleh Putera William bagi melindungi alam sekitar dan mencari huraian kepada pelbagai masalah alam semula jadi.

Dalam lawatannya ke sini selama empat hari, beliau dijangka menghadiri beberapa siri acara dan menemui para pemilik perniagaan dan pelabur, di samping finalis serta pemenang hadiah tersebut.

Kesemua 15 finalis bagi 2023 di peringkat sejagat itu menyarankan projek alam sekitar yang merangkumi usaha menanam, menumbuh dan mengesan pokok secara digital di Liberia hingga ke saranan bagi kaedah kurang intensif karbon untuk merawat air sisa industri.

Putera William “akan meluangkan masa untuk bertemu rakyat Singapura dan mempelajari mengenai cara pertubuhan tempatan berusaha melindungi dan memulihkan bumi kita – daripada menangani perdagangan haram hidupan liar, melindungi hutan hujan hingga ke usaha menginkubasi dan meningkatkan inovasi canggih,” kata Istana Kensington, seperti dipetik The Straits Times.

Putera William juga akan menghadiri sidang kemuncak global United for Wildlife (UfW).

Beliau dan Yayasan Diraja melancarkan UfW pada 2014 untuk menangani perdagangan haram hidupan liar.

Pada September lalu, Putera William menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertemu Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres untuk membincangkan tentang usaha yang diperlukan bagi memerangi perubahan iklim dan melindungi alam sekitar dengan lebih cepat, kata PBB.

Ini merupakan lawatan pertama Putera William ke Singapura dalam lebih sedekad. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg