Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qariah S’pura cemerlang di musabaqah antarabangsa di Jakarta

Raih tempat ketiga dalam pertandingan Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran
Feb 12, 2025 | 1:19 PM
Ustazah A’tiiqah Suhaimi telah meraih tempat ketiga dalam Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Antarabangsa keempat Indonesia 2025.
Ustazah A’tiiqah Suhaimi telah meraih tempat ketiga dalam Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Antarabangsa keempat Indonesia 2025. - Foto ihsan A’TIIQAH SUHAIMI 

Seorang qariah dari Singapura, Ustazah A’tiiqah Suhaimi, 34 tahun, meraih tempat ketiga dalam satu pertandingan antarabangsa membaca Al-Quran di Indonesia baru-baru ini.

Diadakan di Jakarta dari 28 Januari hingga 2 Februari, Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Antarabangsa keempat Indonesia 2025 itu menarik 60 peserta dari 38 negara merangkumi Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah, dan Amerika, dalam kategori tilawah (bacaan) dan tahfiz (hafalan).

Acara itu dianjurkan Kementerian Agama Indonesia.

Ustazah A’tiiqah merupakan salah seorang daripada dua wakil Singapura yang bertanding dalam kategori tilawah.

Seorang lagi ialah Ustaz Muhammad Sadid Abdul Latif, yang meraih tempat kelima.

Para peserta antara lain diuji dari segi ilmu tajwid, fasahah (kelancaran) dan taranum (berlagu).

Sebelum ini, Ustazah A’tiiqah pernah muncul sebagai juara qariah, manakala Ustaz Ahmad Daniyal Mohd Rizal dinobatkan sebagai juara tilawah qari peringkat dewasa dalam Pertandingan Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) peringkat kebangsaan Singapura pada Ogos 2024.

Bagaimanapun, Ustazah A’tiiqah tidak terpilih untuk mewakili Singapura dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Oktober 2024 kerana beliau telah menyertai tahun sebelumnya (2023) dan peraturan menetapkan bahawa peserta tidak boleh mewakili Singapura secara berturut-turut.

Disebabkan itu, peluang diberikan kepada naib juara, Ustazah Nurul Huda Khamsani.

Sebaliknya, Ustazah A’tiiqah telah menyertai Majlis MTQ Peringkat Antarabangsa ke-40 Republik Islam Iran 2024, dalam kategori bacaan tarteel (kadar perlahan), pada Februari 2024 di Teheran.

Beliau berjaya meraih tempat kedua.

Berkongsi pengalaman kepada Berita Harian (BH) dalam satu temu bual, anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui bahawa pengalaman di Jakarta amat mendebarkan:

“Saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana saya tahu kesemua enam finalis wanita yang lain hebat. 

“Apabila saya berjaya mendapat tempat ketiga, saya benar-benar tidak menjangkakannya. Ia satu rezeki, dan saya amat bersyukur.”

Ustazah A’tiiqah sebenarnya bukan orang baru dalam dunia pertandingan tilawah Al-Quran.

Beliau mula berjinak-jinak dengan pertandingan tersebut sejak berumur tujuh tahun.

Namun begitu, sudah menjadi lumrah bagi seseorang untuk berasa gugup ketika berada di atas pentas.

“Saya sebenarnya melakukan senaman seperti yoga untuk mengurangkan rasa gementar. Kerana setiap kali menyertai pertandingan, pasti ada rasa gugup.

“Saya juga cuba untuk naik ke pentas sebelum pertandingan berlangsung supaya saya boleh membayangkan bagaimana rasanya berada di atas pentas,” katanya.

Bagi beliau, menyertai pertandingan seperti ini bukan semata-mata untuk meraih kemenangan, bahkan lebih kepada menimba pengalaman baru di negara asing.

Ustazah A’tiiqah berharap pengalaman yang diperoleh dapat memberi manfaat kepada masyarakat Singapura melalui projek yang sedang diusahakannya – ‘Voices Of Our Recitation’ – satu inisiatif yang bertujuan memperkenalkan tradisi lisan Al-Quran sebagai satu pengalaman rohani yang mendalam.

“Kami cuba merapatkan kembali jurang pada mereka yang mungkin merasakan kurangnya kerohanian dalam kehidupan mereka.

“Saya berharap agar lebih ramai dapat menikmati keindahan Al-Quran melalui taranum. Sama ada mereka boleh membaca atau sekadar mendengar, saya harap mereka dapat menghayatinya dengan lebih mendalam,” kata beliau yang juga pengasas bersama Luminour, sebuah studio permulaan yang membantu membangunkan, menghasilkan, dan melancarkan produk atau projek untuk perniagaan lain.

Dalam kategori tilawah lelaki, Imranul Karim dari Indonesia dinobatkan sebagai juara, manakala Diana Abdul Jabbar dari Indonesia meraih tempat pertama dalam kategori tilawah wanita.

Sementara itu, dalam kategori tahfiz lelaki, Yasin Albar dari Indonesia berjaya merangkul gelaran juara.

Nafisatul Millah dari Indonesia pula muncul sebagai juara dalam kategori tahfiz wanita.

Tema pertandingan kali ini, ‘Al-Quran, Alam Sekitar dan Kemanusiaan untuk Keharmonian Global’, menyoroti ajaran Al-Quran tentang penjagaan alam sekitar serta nilai kemanusiaan, dan kepentingan mengekalkan keharmonian global.

Kali terakhir MTQ antarabangsa dianjurkan pada 2015.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg