Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

QuranSG tarik lebih 16,700 peserta, 48,000 tontonan dalam talian

Nov 18, 2024 | 5:50 PM
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyampaikan ucaptama semasa Seminar QuranSG pada 9 November di Pusat Konvensyen Raffles City.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyampaikan ucaptama semasa Seminar QuranSG pada 9 November di Pusat Konvensyen Raffles City. - Foto MUIS

Satu program sepanjang lima bulan untuk menggalakkan masyarakat Melayu/Islam mengambil bahagian dalam pembelajaran berterusan dan merenung mesej dalam Al-Quran, berjaya menarik seramai lebih 16,700 peserta dan lebih 48,000 tontonan dalam talian.

Musim QuranSG, yang berlangsung dari Jun hingga November 2024, termasuk acara seperti Jelajah Quran, Tadabbur, Seminar Quran dan Festival Quran serta Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) yang popular.

Kemuncak musim tersebut adalah Seminar QuranSG pada 9 November, yang memaparkan tiga segmen dan dihadiri 520 peserta di Atrium Ballroom, Pusat Konvensyen Raffles City.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir merumuskan segmen pagi dengan menyampaikan ucaptamanya yang menekankan keperluan mengembangkan hubungan dengan Al-Quran melebihi bacaan (tilawah) dan hafalan (tahfiz).

“Kita perlu mengubah semula hubungan kita dengan Al-Quran daripada sekadar membaca dan menghafal, daripada tilawah dan tahfiz, kepada tadabbur (meneliti dan menghayati).

“Ia adalah satu proses yang sukar dan mencabar untuk melibatkan diri dengan makna Al-Quran yang transformatif – dengan kata lain, yang mencipta perubahan positif dalam kehidupan kita, sebagai individu, masyarakat, ummah, manusia,” jelas Dr Nazirudin.

Segmen pada pertengahan hari menyaksikan lebih 100 belia mendengar perkongsian Dr Nazirudin mengenai penyepaduan akidah ke dalam kehidupan moden untuk berjaya dalam urusan dunia dan akhirat.

Dr Nazirudin juga menegaskan peranan Al-Quran dalam membantu individu menumpukan semula kepada keperluan hidup.

Lebih 250 Muslimah turut menyertai ceramah pada segmen terakhir bertajuk, Muslimah Sejati, Peribadi Qur’ani (Aspiring Muslim Woman with Quranic Personality), yang menampilkan empat penceramah – Ustazah Dr Sharifah Hayaati, Ustazah Dr Sakinah Sabtu, Ustazah Shameem Sultanah dan Ustazah Nur Hidayah Azman.

Penceramah menegaskan kepentingan menegakkan iman dan integriti, serta meningkatkan ilmu agama untuk membantu membezakan antara baik dengan buruk, dan mempunyai sistem sokongan yang baik, termasuk teman untuk memberikan motivasi.

Festival QuranSG pertama diadakan bersempena MTTQ peringkat kebangsaan Singapura 2023, yang dianjurkan bersama Gerakan SalamSG dan masjid-masjid setempat.

Penganjur utama Seminar QuranSG, Encik Muhammad Faizal Abdollah, yang berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh masyarakat, berkata:

“Amat menggembirakan melihat pemimpin masjid, belia dan Muslimah berkumpul dengan penuh semangat untuk mendalami ajaran Al-Quran.

“Melalui tadabbur, kita meningkatkan bukan sahaja pemahaman kita daripada teks suci, bahkan meneroka cara menerapkan kebijaksanaan abadi dalam kehidupan seharian kita.”

Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat antarabangsa Malaysia menganjurkan MTQ Peringkat Antarabangsa sejak 1961, dengan Singapura dijemput untuk menyertai acara ini sejak 1966.

Ketika itu, penyertaan Singapura diuruskan oleh Majlis Penasihat Islam.

Sejak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ditubuhkan pada 1968, badan itu menguruskannya dengan menubuhkan Jawatankuasa MTQ.

Jawatankuasa itu berperanan menganjurkan MTQ Peringkat Kebangsaan bagi memilih peserta yang akan mewakili negara.

Pada 1998, selain memilih wakil Singapura ke peringkat antarabangsa, ia menganjurkan penyertaan peringkat belia dan mulai 2002, ia diluaskan ke peringkat kanak-kanak.

Peranan Jawatankuasa MTQ ditambah pula pada 2010 dengan menganjurkan Musabaqah Tahfiz Al-Quran, menjadikannya Jawatankuasa MTTQ.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg