Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok telah menjadi tuan rumah untuk acara tahunan Hari Keluarga Daerah Barat, atau ‘District West Family Day’, yang berlangsung pada 26 hingga 27 Oktober 2024. Acara ini melibatkan penyertaan sebanyak 16 masjid di daerah barat Singapura dengan matlamat mengeratkan ikatan kekeluargaan serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohd Ali Atan, acara ini diadakan bagi memperkasakan keluarga Muslim dengan ilmu asas agama, meningkatkan ukhuwah antara masjid dan agensi berkepentingan, memupuk keakraban dalam kalangan kakitangan masjid serta menarik minat pengunjung bukan Islam agar mendekati dan berinteraksi dengan masyarakat masjid.
Tema acara tahun ini ialah ‘Membina Keluarga yang Lebih Kukuh serta Berkeyakinan dan Bijaksana,’ yang mencerminkan usaha berterusan dalam membangun keluarga dan masyarakat yang harmoni.
Acara dua hari ini bermula seawal 7 pagi dengan senaman zumba dan berjalan pantas ke Bukit Batok Nature Park. Ia disertai lebih 500 pengunjung termasuk pemimpin masyarakat dan tetamu terhormat seperti Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, serta Superintenden Masjid Daerah Barat, Dr Ustaz Suhaimi Mustar.
Bagi menghiburkan pelbagai lapisan umur, bermacam-macam kegiatan diaturkan. Bagi remaja dan kanak-kanak, acara seperti perlumbaan bot naga, bengkel khat dan karikatur, sesi bercerita, serta permainan lompatan istana (bouncy castles) telah diadakan. Di samping itu, majlis khatam Al-Quran yang disertai seramai 380 peserta diadakan di Dewan Solat Yam, diikuti dengan syarahan perdana pada malam hari.
Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) turut serta dalam acara ini dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan penglihatan dan pendengaran khusus untuk warga emas. Daya usaha ini membantu mereka yang berusia 60 tahun ke atas memastikan kesihatan mata dan pendengaran mereka terus terjaga.
Hari kedua menyaksikan acara Seminar Qaryah dengan kehadiran 150 ahli kariah, yang turut disemarakkan dengan majlis maulid dan kehadiran asatizah daripada masjid-masjid daerah barat. Para pengunjung juga dapat menikmati pelbagai makanan dan mendapat panduan kesihatan di reruai yang terdapat di situ.
Ustaz Mohd Ali menutup acara tersebut dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
“Alhamdulillah, acara keluarga ini berjalan dengan jayanya dan semoga segala usaha kami ini diberkati dan dapat mencapai matlamat yang kami sasarkan. Acara Hari Keluarga Daerah Barat ini menjadi bukti kukuh semangat persaudaraan dan sokongan masyarakat terhadap pengukuhan institusi keluarga serta masjid ini,” tambah Ustaz Mohd Ali.
1. PayNow Ke UEN S93MQ0024E, isi ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Hantarkan WhatsApp ke talian 9461-4306 selepas menghulurkan sumbangan.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg