Penjagaan paliatif akan menjadi semakin penting apabila Singapura menjadi masyarakat sangat tua atau super-aged.
Seorang dalam empat penduduk Singapura akan menjangkau usia 65 tahun menjelang 2030 dan lebih 21 peratus penduduk Singapura akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2026, hanya dalam masa dua tahun.
Demikian dikongsi oleh Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pada 1 Jun semasa Majlis Penyampaian Anugerah pertandingan sulung Hack Care: YOLO! yang berlangsung di Politeknik Temasek.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Hospis Singapura (SHC) dengan Politeknik Temasek, Politeknik Republik dan Politeknik Ngee Ann untuk bekerjasama dalam menangani keperluan penjagaan paliatif di Singapura.
Pemeteraian MOU antara SHC dengan politeknik-politeknik tersebut membuka jalan kepada lebih banyak daya usaha bersama, termasuk program latihan pelajar, perkongsian industri, pembangunan kurikulum dan pelbagai projek kerjasama.
Cik Rahayu, dalam ucapannya, berkongsi tentang kepentingan membina kesedaran dalam kalangan golongan muda mengenai penjagaan paliatif atas beberapa sebab.
“Golongan muda sering mengambil peranan sebagai penjaga anggota keluarga yang mungkin mendapat manfaat daripada penjagaan paliatif.
“Jika dilengkapi dengan pengetahuan tentang sumber penjagaan paliatif yang tersedia, anak muda kami, seperti anda, boleh menyokong kepentingan penjagaan sedemikian dengan berkesan melalui perbualan antara generasi, lantas membolehkan saudara yang lebih tua memahami dan menerima rawatan paliatif,” kata Cik Rahayu.
Beliau turut menambah bahawa belia boleh membantu meningkatkan kesedaran Perancangan Penjagaan Awal (ACP) dalam kalangan rakan-rakan dan keluarga.
“ACP membantu kami merancang untuk kesihatan dan penjagaan diri untuk masa hadapan kami.
“Ia membantu kita berkomunikasi dengan orang yang kita sayangi dan pasukan penjagaan kesihatan tentang kepercayaan peribadi kita, nilai dan cara kita ingin dijaga apabila kita kehilangan keupayaan berbuat demikian.
“Selain memberi manfaat kepada pesakit, ACP membantu mengelak rasa bersalah, tekanan dan konflik dalam kalangan orang tersayang,” ujar Cik Rahayu kepada lebih 200 peserta pertandingan Hack Care: YOLO! yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, maktab rendah, politeknik dan universiti.
Peserta-peserta tersebut telah mengemukakan 54 cadangan yang menangani tiga tema penting iaitu perbualan terbuka tentang kematian dalam kalangan belia, sokongan rakan sebaya dan empati untuk pesakit dan keluarga mereka, serta meningkatkan kesedaran secara keseluruhan tentang penjagaan paliatif di Singapura.
Dalam pada itu, terdapat banyak cara untuk golongan belia menyumbang, menurut Cik Rahayu, yang memberikan contoh sebuah kumpulan yang dikenali sebagai ‘Ashtronaut’.
‘Ashtronaut’ telah berkumpul sebagai sebahagian daripada Cabaran Tindakan Belia, anjuran Majlis Belia Kebangsaan (NYC) untuk mengendalikan “kafe kematian”.
“Ini adalah pandangan yang unik untuk mendekati subjek yang sangat sensitif ini tetapi ia juga mencerminkan pandangan belia kita yang berubah-ubah tentang kematian kita sendiri,” ujar Cik Rahayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg