Unit maklum balas pemerintah, Reach, terbuka mewujudkan kerjasama baru dan berbeza, kata Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Reach.
Ini kerana mereka akur warga Singapura berinteraksi dengan pemerintah melalui platform dan cara yang sangat berbeza, jelas Cik Rahayu.
“Kita perlu mengembangkan kerjasama supaya kita dapat mendekati kumpulan orang yang berbeza,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Reach baru-baru ini menyokong Siri Jauhari anjuran BH dan OMGxBH bagi pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian.
Sesi pertama yang mengetengahkan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, telah diadakan pada 31 Mei 2024 di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle.
Sesi tersebut dihadiri 80 belia daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama yang mendaftar.
“Terdapat beberapa belia yang berada di sini buat kali pertama dan terdapat tarikan berbeza bagi mereka iaitu Siri Jauhari, dan itu membolehkan kami menggunakan platform ini dan meneroka isu-isu tertentu,” kata Cik Rahayu.
Setelah mendengar perkongsian Puan Halimah semasa sesi dua jam itu, para belia dibahagikan kepada kumpulan berbeza untuk membincangkan empat isu termasuk membantu masyarakat memerlukan, menjadikan Singapura masyarakat lebih bersifat ihsan, membangunkan masyarakat lebih inklusif serta memperbaharui kompak sosial Singapura.
Memberi komennya setelah sesi perbincangan tersebut, Cik Rahayu berkata kepada para belia itu:
“Saya harap ia memberi anda peluang mendengar pandangan lain mengenai perkara yang dibincangkan dan saya juga berharap ia benar-benar menarik minat anda untuk meneruskan latihan melibatkan diri dalam perbincangan dan perbualan dengan rakan-rakan warga Singapura lain.”
Cik Rahayu turut berkata meluaskan kerjasama Reach akan membolehkan demografi masyarakat yang berbeza didekati dengan lebih bermakna.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg