Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan kepentingan berterusan terhadap pencegahan dan pengesanan awal penyakit buah pinggang yang masih menjadi salah satu isu kesihatan utama di Singapura.
Beliau menegaskan bahawa penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah masalah kesihatan yang sering tidak disedari oleh banyak individu dan pengesanan pada peringkat awal sangat penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Penyakit buah pinggang kronik kini dianggarkan memberi kesan kepada sekitar 500,000 penduduk Singapura, dengan majoriti pesakit hanya mengetahui tentang penyakit mereka setelah ia berada pada tahap lanjut.
Cik Rahayu memuji usaha berterusan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui program pendidikan, perkongsian maklumat dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (MOH), penyedia penjagaan kesihatan lain dan rakan masyarakat.
Ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Forum Kesihatan Komuniti, ‘Redha: Kuasa Penerimaan’, dan Majlis Penghargaan Rakan Masyarakat yang dianjurkan oleh NKF di Masjid Hasanah pada 22 Februari, Cik Rahayu berkata:
“Usaha NKF dalam pendidikan dan perkongsian maklumat, serta kerjasama dengan MOH, penyedia penjagaan kesihatan lain dan rakan masyarakat, akan memastikan kita terus menangani masalah penyakit buah pinggang dengan lebih berkesan.”
Beliau turut merujuk kepada hasil Kajian Kesihatan Penduduk Nasional terkini yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mencatatkan kadar tertinggi bagi merokok, kegemukan dan darah tinggi dalam kalangan kumpulan etnik – faktor utama yang menyumbang kepada penyakit buah pinggang.
“Keadaan ini menjadikan usaha NKF yang melibatkan masjid dan pertubuhan Melayu/Islam sangat penting. Melalui kerjasama ini, kita dapat memastikan individu yang berisiko tinggi menerima sokongan dan sumber yang mereka perlukan untuk menjaga kesihatan dengan lebih baik,” ujar Cik Rahayu.
Dalam forum yang menampilkan pendakwah setempat, Ustazah Shameem Sultanah, dan kaunselor, Encik Sufian Hanafi, mereka memberikan panduan praktikal mengenai kesihatan masyarakat daripada perspektif Islam untuk memperkasa kesihatan masyarakat.
Memandangkan Ramadan yang semakin hampir, forum tersebut juga memberikan panduan tentang bagaimana individu yang menghidap penyakit kronik boleh menguruskan ibadah puasa dengan selamat, sambil memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian.
Mereka memimpin perbincangan mengenai topik-topik penting seperti penjagaan diri, kepentingan rangkaian sokongan yang kukuh serta menguruskan cabaran kesihatan dengan penuh reda dan tabah.
Acara yang dihadiri lebih 200 hadirin itu bertujuan memperkasa masyarakat Melayu/Islam agar mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri.
Satu majlis penghargaan turut diadakan bagi mengiktiraf 40 buah masjid dan rakan masyarakat atas dedikasi mereka dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang dan pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NKF, Cik Yen Tan.
Dalam ucapannya, Cik Tan berkata: “Kami telah memeriksa 2,500 individu dan mendapati hampir 17 peratus daripada mereka mempunyai fungsi buah pinggang tidak normal dan memerlukan pemeriksaan lanjut.
“Matlamat kami ialah mengurangkan keperluan menjalani dialisis. Kami ingin membantu meningkatkan kesedaran dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mula menguruskan kesihatan mereka lebih awal.
“Pencegahan adalah keutamaan dan kami mahu memastikan mutu hidup yang lebih baik untuk semua.’‘


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg