Lebih ramai orang Melayu/Islam terlibat dalam inisiatif gaya hidup sihat, berikutan penubuhan bidang tumpuan kelima (FA5) berkaitan kesihatan di bawah M Kuasa Tiga (M³).
Program Saham Kesihatan yang diterajui FA5 menarik lebih 800 individu pada 2024, bertambah 60 peratus berbanding 2023.
Demikian menurut Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dalam satu sidang media mengenai kemajuan M³@Bandar sepanjang lima tahun lalu, pada 25 Oktober.
Beliau memimpin usaha FA5 M³, yang merupakan usaha sama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).
Program Saham Kesihatan, program utama di bawah bidang tumpuan kelima M Kuasa Tiga (M³) berkaitan kesihatan, memberi tumpuan kepada lima aspek.
Aspek itu ialah menyokong penuaan sihat, mempertingkat kadar pemeriksaan, mengamalkan gaya hidup sihat, mengurangkan bilangan perokok, dan mempertingkat kesejahteraan mental.
Setakat September 2024, hampir 5,000 penduduk Melayu/Islam telah menyertai aktiviti seperti sesi senaman mingguan dan ceramah kesihatan mental yang dikendalikan oleh rakan kerja di bawah rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU).
Rangkaian JKJU, yang ditubuhkan oleh Lembaga Promosi Kesihatan (HPB) pada 2017, telah berkembang dengan ketara dan kini terdiri daripada 100 rakan kerja masyarakat yang aktif, termasuk M³@Bandar, masjid, dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
Rakan kerja ini bekerjasama rapat dengan HPB untuk menjalankan program promosi kesihatan, seperti senaman mingguan, ceramah kesejahteraan mental dan demonstrasi masakan lebih sihat.
Sejak 2023, rangkaian itu telah berkembang, dengan hampir 5,000 penduduk mengambil bahagian dalam kegiatan tersebut.
Kesejahteraan mental juga merupakan bidang tumpuan utama di bawah FA5.
“Kami mempunyai strategi kesihatan dan kesejahteraan mental, dan kami meneruskan dengan mewujudkan sokongan masyarakat dan latihan rakan (peer training),” ujar Cik Rahayu.
Program Cinta Minda diketuai oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, di kawasan undinya, yang bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan mental, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam. Program tersebut antara acara yang mendekati ramai penduduk.
Ia menumpukan kepada usaha peluang pendidikan, kegiatan, serta dialog ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu/Islam tentang penjagaan kesihatan mental dan fizikal.
Mulai 2025, program tahunan Cinta Minda akan dilanjutkan ke semua empat divisyen GRC Jalan Besar.
Usaha memantau peningkatan kesihatan adalah penting kepada strategi FA5, kata Cik Rahayu.
Kesemua lima bidang tumpuan M³ mempunyai papan pemuka, atau ‘dashboard’, untuk memantau penyertaan dan hasil program kesihatan.
Saham Kesihatan, khususnya, membantu mengumpul data melalui penilaian kesihatan sebelum dan selepas kegiatan, membolehkan peserta menjejak kemajuan selepas program 12 minggu.
“Kami bukan sahaja melihat keputusan segera tetapi bertujuan memupuk tabiat peningkatan kesihatan yang berkekalan,” kata Cik Rahayu.
“Dashboard untuk FA5 ialah sesuatu yang memerlukan masa, bukan sesuatu yang anda akan lihat serta-merta dalam tinjauan kesihatan penduduk negara kita, kerana ia mengenai membina budaya dan tabiat,” tambahnya.
Penilaian awal menunjukkan peningkatan kesihatan yang kecil tetapi menunjukkan potensi dalam kalangan peserta, dengan data membantu membimbing matlamat kesihatan masyarakat jangka panjang.
Program Saham Kesihatan M³, yang kini aktif di semua 11 M³@Bandar, juga menubuhkan kumpulan minat berkaitan kegiatan sihat, seperti berjalan pantas dan bersenam.
Tahun ini, sebanyak 25 kumpulan berkepentingan telah menggabungkan penilaian untuk membantu ahli memantau matlamat kesihatan mereka.
Selain itu, M³ memanfaatkan sambutan Ramadan dan Hari Raya untuk menggalak pemakanan sihat, mengedarkan habuan lebih sihat kepada lebih 10,000 keluarga dengan bantuan seramai 65 rakan kerja JKJU, meningkat daripada 11 rakan kerja dan 5,000 keluarga pada 2021.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan hanya tentang angka, ini tentang memupuk budaya kesihatan sebagai keutamaan bagi masyarakat kita,” kata Cik Rahayu.
Walaupun peningkatan dalam gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Melayu/Islam di Singapura dapat dilihat, lebih banyak harus dilakukan.
Cik Rahayu menyatakan penyertaan rendah dalam pemeriksaan barah buah dada masih menjadi kebimbangan.
Hanya 16.9 peratus wanita Melayu menjalani pemeriksaan – antara terendah dalam kalangan kumpulan etnik di Singapura.
“Beberapa strategi telah kami lakukan, termasuk mengunjungi tempat masyarakat berhimpun.
“Terdapat banyak usaha dengan masjid dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa masjid menganjurkan aktiviti kesihatan dan mendekati golongan wanita,” ujar beliau.
Cik Rahayu berkata ini merupakan usaha berterusan, dan menambah bahawa pendekatan itu juga termasuk sokongan daripada pakar penjagaan kesihatan dalam menanganinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg