Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Pendekatan berbilang hala perlu agar penjagaan paliatif terus dipertingkat

Aug 29, 2024 | 3:25 PM
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (dua dari kanan), berinteraksi dengan peserta Persidangan Peningkatan Mutu Penjagaan Paliatif Singapura 2024 pada 29 Ogos di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (dua dari kanan), berinteraksi dengan peserta Persidangan Peningkatan Mutu Penjagaan Paliatif Singapura 2024 pada 29 Ogos di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands. - Foto MAJLIS HOSPIS SINGAPURA

Pendekatan berbilang hala diperlukan bagi memastikan peningkatan mutu yang berterusan dalam penjagaan paliatif, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Itulah sebabnya lebih daripada sekadar data, garis panduan dan penanda aras, terdapat keperluan memupuk budaya kecemerlangan dan perkongsian berterusan dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan, ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Persidangan Peningkatan Mutu Penjagaan Paliatif Singapura 2024 (SPCQIC 2024) pada 29 Ogos di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Anjuran Majlis Hospis Singapura (SHC), persidangan itu berlangsung dari 29 hingga 30 Ogos.

Ia bertujuan memupuk kerjasama dan perkongsian pengetahuan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan paliatif di Singapura.

Penjagaan paliatif merangkumi usaha meringankan kesengsaraan pesakit yang menghidap penyakit serius atau mengancam nyawa.

Cik Rahayu berkata usaha Kementerian Kesihatan (MOH), SHC, institut penjagaan kesihatan awam yang menyediakan penjagaan paliatif dan penyedia penjagaan paliatif masyarakat “telah meningkatkan mutu penjagaan paliatif di Singapura dengan ketara”.

Beliau memberi contoh maklum balas penjaga yang “secara keseluruhan menunjukkan peningkatan” dalam Tinjauan Respons Penjaga 2023 dan penjagaan paliatif lebih awal yang diberikan kepada sebahagian besar pesakit barah sejak kebelakangan ini.

Namun penjagaan paliatif tidak hanya terletak pada pakar penjagaan paliatif semata-mata kerana masyarakat umum, termasuk doktor keluarga dan pakar penjagaan bukan paliatif, memainkan peranan.

“Adalah menjadi harapan kami (pemerintah) untuk membawa penjagaan paliatif huluan dengan menyepadukannya secara lebih mendalam dalam masyarakat dan membina hubungan sedia ada yang pesakit sudah terjalin bersama doktor mereka,” ujarnya.

Hal sedemikian sejajar dengan Strategi Kebangsaan untuk Rangka Kerja Penjagaan Paliatif yang dikemas kini MOH pada 2023.

Menurut laman rasmi MOH, rangka kerja tersebut tertumpu kepada tiga teras:

  1. Tingkatkan akses bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan paliatif yang berpatutan untuk pesakit
  2. Bina suasana penjagaan paliatif yang saling mendukung antara masyarakat dan sektor kesihatan
  3. Tingkatkan mutu penjagaan paliatif

Pengerusi jawatankuasa penganjur SPCQIC 2024, Dr Yee Choon Meng, dalam ucapan aluannya, berkata kini kapasiti penjagaan paliatif telah meningkat dan telah berkembang maju.

Lebih-lebih lagi dengan penduduk yang semakin menua di Singapura, adalah menjadi keperluan utama “membina kapasiti dan kebolehan memenuhi keperluan penjagaan paliatif yang berkembang dan berubah,” katanya.

“Fraterniti (penjagaan paliatif) juga telah berkembang, menjangkau pasukan pakar penjagaan paliatif dan kini meliputi karyawan penjagaan kesihatan dalam disiplin lain, termasuk doktor dan pasukan dari sektor penjagaan utama.

“Adalah penting juga pada hari ini piawaian penjagaan dan perkhidmatan dikekalkan dan cara pemindahan ilmu yang berterusan dapat dicipta,” tambah beliau.

Sidang itu dihadiri lebih 450 peserta tempatan dan antarabangsa meliputi karyawan berlatarkan kesihatan dan pakar penjagaan paliatif.

Menurut kenyataan SHC, lebih separuh peserta yang hadir terdiri daripada karyawan penjagaan kesihatan bukan paliatif.

Tema sidang tersebut berpandukan “Mentransformasikan Penjagaan Paliatif Melalui Lensa Peningkatan Mutu”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg