Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Woodlands Health sedia khidmat hospital akut di utara

Jul 15, 2024 | 4:30 PM
Jururawat, Encik Muhammad Hafizuddin, membantu pesakit, Cik Mislina Timat, menggunakan tablet di sisi katil pesakit yang membolehkan pesakit mendapat mengakses bahan pendidikan kesihatan, rekod kesihatan, permainan mahupun YouTube di hospital akut kampus Woodlands Health pada 3 Julai.
Jururawat, Encik Muhammad Hafizuddin, membantu pesakit, Cik Mislina Timat, menggunakan tablet di sisi katil pesakit yang membolehkan pesakit mendapat mengakses bahan pendidikan kesihatan, rekod kesihatan, permainan mahupun YouTube di hospital akut kampus Woodlands Health pada 3 Julai. - Foto ST

Penduduk di Woodlands, Sembawang, Choa Chu Kang dan kawasan berdekatan kini boleh mendapatkan akses lebih mudah kepada perkhidmatan hospital akut di hospital baru, kampus Woodlands Health, yang dibuka rasmi.

Kemudahan seluas 7.7 hektar di 17 Woodlands Drive 17 itu mempunyai 460 katil akut dan komuniti serta menyediakan perkhidmatan penjagaan menyeluruh merentas semua disiplin penjagaan kesihatan utama termasuk penjagaan kritikal dan masyarakat.

Berucap di pembukaan rasmi hospital tersebut pada 13 Julai, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata langkah itu meningkatkan kapasiti katil di daerah utara, dan penduduk boleh terus menuju ke hospital baru itu tanpa perlu pergi ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) atau Hospital Besar Ng Teng Fong.

Pembukaan kampus Woodlands Health menyusuli pembukaan dua hospital besar baru dalam tempoh 10 tahun lalu, iaitu Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Besar Sengkang.

Dengan menyepadukan hospital akut, hospital masyarakat dan rumah penjagaan, Encik Lee berkata kampus tersebut menggambarkan peralihan pendekatan yang diambil Singapura untuk khidmat penjagaan kesihatan.

“Kampus tersebut bukan sahaja menawarkan perkhidmatan biasa (pengurusan kecemasan akut, rehabilitasi, dan pemulihan), malah akan juga menyediakan perkhidmatan penjagaan jangka panjang – termasuk penjagaan siang hari, penjagaan di rumah, penjagaan kejururawatan, dan penjagaan paliatif.

“Ini akan menjadikan ia lebih mudah untuk meletakkan pesakit di tempat yang sesuai, dan juga memudahkan lagi pesakit untuk beralih dengan lancar daripada rawatan ke pemulihan, dan untuk mendapatkan penjagaan yang betul di satu tempat,” ujarnya.

Dapatan daripada kajian yang dijalankan jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Penyelidikan Hasil National Healthcare Group (NHG) pada 2018 menunjukkan bahawa walaupun penduduk daerah utara secara relatif lebih muda jika dibandingkan dengan bahagian Singapura yang lain, mereka lebih berisiko menghidap penyakit kronik pada tahap lebih tinggi dan pada usia lebih awal.

Encik Lee berkata Woodlands Health bukan sahaja menyediakan penjagaan kesihatan dalam masyarakat menerusi program WH@Home yang membolehkan penduduk dirawat dalam persekitaran rumah, malah ia meluaskan usaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Hospital tersebut juga telah memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan membaiki pengalaman penjaga serta pesakit.

Ia mempunyai farmasi automatik yang mengurangkan masa menunggu untuk ubat, serta tablet di tepi katil pesakit atau The Patient Bedside Tablet yang membolehkan pesakit terlibat dengan lebih aktif dalam rancangan penjagaan mereka.

“Secara tradisional, dalam wad, jururawat menyampaikan maklumat kepada pesakit secara fizikal, memberi mereka taklimat secara bersemuka tentang keadaan mereka, keputusan ujian mereka dan kegiatan yang dijadualkan,” katanya.

Tablet tersebut membolehkan pesakit mengakses rancangan penjagaan mereka, carta tanda vital dan sumber pendidikan yang relevan dengan keadaan mereka.

“Tablet di tepi katil pesakit itu juga berfungsi seperti sistem hiburan dalam penerbangan dengan pesakit boleh memesan makanan pilihan yang digemari, serta boleh menonton video YouTube, barangkali mungkin tidak terlalu menyeronokkan!” tambah Encik Lee.

Ruang terlindung besar di kawasan ambulans di jabatan kecemasan Woodlands Health.
Ruang terlindung besar di kawasan ambulans di jabatan kecemasan Woodlands Health. - Foto ZAOBAO

Belajar daripada pengalaman menempuh Covid-19, Encik Lee turut berkata kampus tersebut telah direka yang membolehkannya menampung lonjakan dalam jumlah pesakit dengan ruangnya dapat diubah bagi kegunaan lain, contohnya wad pengasingan atau kemudahan penjagaan kritikal.

Antaranya, terdapat ruang terlindung besar di daerah kawasan ambulans di jabatan kecemasan yang boleh ditukar menjadi tempat menempatkan pesakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg