Jauh sebelum bergelar pendidik, Cik Nurdiyanah Shafiee, 38 tahun, sudah gemar mereka pelbagai kegiatan untuk sepupu dan anak-anak saudaranya kerana tahu yang mereka seronok melakukannya.

Berbekalkan apa yang dipanggilnya ‘busy books’ – iaitu buku yang mengandungi pelbagai kegiatan dan teka-teki – beliau akan melakukan kegiatan bersama ketika mereka masih kecil.

Pengalaman itu sebenarnya menyemai benih minat untuk mendidik kanak-kanak sehinggakan mendorong beliau melanjutkan pengajian Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann (NP).

Hasil minat yang mendalam itu, kini sudah lebih 15 tahun Cik Nurdiyanah berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan terus berkhidmat sebagai guru tadika Bahasa Inggeris.

“Melihat wajah gembira mereka (sepupu dan anak saudara) semasa melakukan kegiatan bersama memberikan saya rasa satu kepuasan.

“Lebih daripada sekadar kegembiraan, pengalaman itu memupuk hasrat untuk memberi perubahan yang bermakna dalam kehidupan kanak-kanak.

“Saya percaya usia ini merupakan antara peringkat paling penting dalam perkembangan mereka. Sebab itu, hasrat tersebut tidak pernah pudar,” kata beliau dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) di tempat kerjanya.

Kepuasan mendidik memang terasa apabila beliau bersama anak-anak muridnya di Tadika Kementerian Pendidikan (MOE) @ Meridian, MK@Meridian.

Beliau semakin memahami betapa besar pengaruh seorang guru, terutama selepas membantu seorang murid mengatasi masalah sukar berpisah dengan ibu bapanya di sekolah.

Murid itu yang pada mulanya menangis setiap kali tiba di sekolah, akhirnya menjadi antara murid paling yakin di pusat tersebut berkat bimbangan dan kesabaran Cik Nurdiyanah.

Kini, murid itu sudah berada di Darjah 6 dan akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), malah masih mengirimkan kad Hari Guru kepada Cik Nurdiyanah setiap tahun.

Cik Nurdiyanah berkongsi bahawa peranan seorang pendidik ibarat ‘cermin’ yang menjadi antara pantulan pertama yang dilihat kanak-kanak setiap hari.

“Cara kami sebagai guru membawa diri dan apa yang kami ajarkan kepada kanak-kanak akan sentiasa membentuk peribadi serta nilai yang mereka pegang sepanjang hayat,” tegas beliau.

Apabila ditanya apa yang menjadi motivasinya, Cik Nurdiyanah berkata kata-kata penghargaan yang diungkapkan murid ciliknya mendorongnya.

Kata-kata ringkas – seperti ‘Terima kasih, Cik Diyanah, sebab isi botol air saya,’ dan ‘Saya sayang Cik Diyanah,’ – serta pelukan dan senyuman anak-anak itu menjadi sumber semangat, terutama pada hari yang terasa lebih mencabar.

“Ibu bapa menghantar anak mereka kepada kami dan mengamanah keselamatan, kesejahteraan serta penjagaan anak mereka kepada kami,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman selama 15 tahun turut mengasah kemahiran mengurus masa, manakala sokongan daripada keluarga, rakan sekerja dan pihak sekolah membantunya mengharungi tuntutan kerjaya.

Minat Cik Nurdiyanah dalam merancang kegiatan menarik untuk kanak-kanak turut diterapkan dalam perancangan sambutan di MK@Meridian tahun ini.

Guru dan murid hadir ke sekolah dengan berpakaian mengikut huruf pertama nama masing-masing. Bagi Cik Nurdiyanah, yang dikenali sebagai ‘Miss Diyanah’ oleh muridnya, beliau memilih untuk datang sebagai dinosaur.

Sambutan itu turut diserikan dengan pencarian harta karun, apabila setiap kelas menerima petunjuk untuk mencari huruf tersembunyi di sekitar sekolah sebelum menyusunnya bagi mengenal pasti lokasi hadiah.

Bagi Cik Nurdiyanah, Hari Guru bukan sekadar sambutan, tetapi peluang untuk mencipta pengalaman yang membuat para pendidik berasa dihargai.