Dalam dunia yang menyaksikan peningkatan bilangan individu berisiko menghadapi masalah penglihatan, Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan mengetengahkan cabaran yang dihadapi golongan tersebut.
Usaha itu bertujuan menggalak masyarakat mengambil langkah pencegahan lebih awal serta lebih memahami keperluan mereka yang menghadapi cabaran itu.
Selain itu, SAVH turut ingin memperkenalkan kepada masyarakat tentang alat bantuan yang digunakan oleh golongan tersebut, yang kini semakin canggih, seiring dengan perkembangan zaman.
Justeru, SAVH akan memanfaatkan Raikan Ilmu@Heartlands 2025 sebagai wadah untuk mencapai matlamatnya, dan merupakan antara 60 rakan Yayasan Mendaki yang menyertai acara tersebut.
Berkongsi cabaran sebagai seorang yang menghadapi masalah penglihatan, Penyelia Jabatan Pengeluaran Braille, SAVH, Encik Jason Setok, berkata menyesuaikan diri dengan masalah penglihatan sangat mencabar, terutama bagi golongan warga emas.
“Kadangkala, menjalani kehidupan seharian boleh menjadi satu cabaran. Pergi ke tempat yang tidak dikenali boleh menyebabkan seseorang sesat.
“Bayangkan jika mata anda ditutup dengan kain dan anda cuba makan tanpa penglihatan,” kongsinya.
Oleh itu, menurutnya, penting untuk SAVH membantu meningkatkan kesedaran tersebut.
“Pada masa hadapan, semakin ramai individu dijangka mengalami masalah penglihatan yang boleh mengakibatkan buta atau kehilangan sebahagian penglihatan.
“Mencegah lebih baik daripada merawat, dan SAVH sedia membantu anda,” katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).
SAVH ialah agensi di Singapura yang menyokong golongan cacat penglihatan melalui pelbagai perkhidmatan seperti kebajikan sosial, orientasi dan mobiliti (O&M), pengeluaran braille untuk pelajar, serta latihan kemahiran kehidupan harian.
Mereka juga mengendalikan pusat jagaan harian dan perusahaan sosial seperti Pasukan Urut Bergerak dan program ‘Dining in the Dark’, yang menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesedaran melalui pengalaman unik.
Sempena Raikan Ilmu@Heartlands 2025, SAVH akan menawarkan beberapa kegiatan untuk hadirin di reruai mereka di Safra Choa Chu Kang pada 19 Julai.
Antaranya, peserta boleh belajar asas braille menggunakan carta abjad bertitik serta menerima penanda buku dalam tulisan braille yang tertera nama mereka.
Mereka juga berpeluang menaip nama mereka sendiri dalam braille pada penanda buku tersebut. Beberapa contoh buku braille dan bentuk taktil juga akan dipamerkan.
Selain itu, kanak-kanak boleh bermain permainan, ‘A-Maze’ dengan hanya menggunakan sentuhan, tanpa penglihatan.
Antara alat yang digunakan SAVH ialah paparan braille, yang membolehkan individu kurang penglihatan membaca teks digital melalui sentuhan.
Alat tersebut akan disambungkan kepada komputer atau telefon bimbit, dan teks dalam bentuk titik braille akan dipaparkan mengikut apa yang ditaip di peranti tersebut, sekali gus memudahkan bentuk komunikasi mereka.
“Secara amnya, kami mempromosikan kesedaran mengenai masalah penglihatan dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
“Tanpa mengira bangsa dan agama, bantuan yang dihulurkan amat bermakna dan memberi kesan yang besar,” tambah Encik Jason.
Ketua Jabatan Kebolehcapaian, Advokasi dan Kelab White Cane SAVH, Cik Lyn Loh, turut menambah penyertaan mereka memberi peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kemajuan teknologi bagi golongan yang mengalami masalah penglihatan.
“Ramai mungkin beranggapan bahawa sistem Braille sudah lapuk, tetapi sebenarnya tidak kerana ia masih membantu individu yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran.
“Teknologi juga kini telah berkembang dan mampu membantu golongan yang mengalami masalah penglihatan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jurulatih IT di SAVH, Cik Valerie Lim, berkata berbeza dengan era teknologi masa kini, ramai individu yang mengalami masalah penglihatan tidak berpeluang menggunakan peralatan berteknologi tinggi pada 1990-an.
“Ketika itu, komputer dan pembaca skrin sudah pun tersedia, tetapi alat penjana suara masih mahal untuk dibeli dan suaranya kedengaran agak robotik.
“Komputer peribadi pula besar dan sukar untuk dibawa ke mana-mana. Pada masa itu, telefon pintar yang boleh membantu golongan kurang penglihatan dalam kehidupan harian juga belum wujud,” ujarnya.
Namun, sejak peredaran zaman, teknologi telah berkembang dengan pesat, terus membantu golongan tersebut.
“Golongan kurang penglihatan kini boleh menggunakan telefon pintar dengan fungsi pembaca skrin dan teks lebih besar untuk membantu dalam kegiatan harian seperti membuat dan menerima panggilan, menggunakan WhatsApp – untuk membaca teks dan gambar – mengetahui laluan bas serta membuat pembelian barangan runcit secara dalam talian.
“Mereka juga boleh akses dan membaca e-mel dengan lebih mudah,” tambah Cik Valerie.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg