Dentuman derapan tapak kuda dan debaran yang dirasai setiap kali beliau mendekati halangan bersama kudanya telah menjadi sebahagian besar kehidupan atlet tunggang kuda Singapura, Tara Nur Ibrahim.
Beliau berkongsi telah diperkenalkan kepada dunia menunggang kuda melalui bapanya, Roy Ibrahim.
Bapanya merupakan bekas atlet ekuestrian Indonesia yang telah bersaing dan memenangi pingat di peringkat antarabangsa.
“Apabila beliau duduk di atas kuda dengan saya ketika masih bayi lagi, sekitar umurnya enam bulan, beliau ketawa sepanjang masa,” kenang Roy yang juga merupakan ketua jurulatih tunggang kuda di Pusat Menunggang Kuda Kelab Lumba Kuda Singapura (STCRC).
“Ini semua rasa semula jadi untuknya. Ia bukan tentang bakat, ia tentang betapa selesanya hubungan beliau dengan kuda.
“Ikatan itu tidak pernah hilang,” tambah Roy.
Bagi Tara, pusat latihan menunggang kuda bukan sekadar tempat untuk berlatih, bahkan tempat beliau belajar tentang erti kesabaran melalui dan menghadapi jatuh bangun dan menemui kekuatan untuk bangkit semula daripada cabaran kehidupan.
Anak kepada jurulatih tunggang kuda ternama, Tara membesar dalam dunia yang dipenuhi pelana atau ‘saddle’ dan hubungan erat antara manusia dengan haiwan yang istimewa itu.
Beliau baru sahaja selesai pengajian diploma sains hayat di PSB Academy pada Oktober lalu dan sepanjang pengajiannya, Tara perlu mengimbangi pelajarannya dengan komitmen terhadap sukan yang menuntut disiplin dan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.
“Saya agak terkejut (apabila terpilih) tetapi sangat bersyukur kerana saya memang sentiasa ingin mewakili Singapura di kejohanan besar seperti Sukan SEA,” ujar atlet berusia 20 tahun itu sambil tersenyum.
“Lebih istimewa lagi, pasukan eventing kami pada 2025 ini diwakili pasukan wanita sepenuhnya dan kali terakhir Singapura menyertai acara ini adalah pada 1995.”
Persiapan ke Sukan SEA bukan sesuatu yang mudah.
Tara dan pasukannya menghabiskan banyak masa berlatih di Thailand, satu cabaran besar apabila perlu mengimbangi antara pelajaran dengan latihan intensif.
“Agak sukar untuk mengimbangi antara latihan di Thailand dan komitmen sekolah,” ceritanya.
“Apabila kami berada di Thailand, kami fokus sepenuhnya pada latihan dan mengenali kuda kami.
“Kami mula menjalin kerjasama dengan kuda hanya pada tahun ini (2025), jadi penting untuk membina keserasian dan kepercayaan.”
Hubungan antara penunggang dengan kuda menjadi tunjang utama dalam acara eventing dan pendekatan inilah yang ingin diterapkan Roy kepada Tara.
“Menunggang kuda unik kerana anda bekerjasama dengan kuda anda, justeru anda perlu menjaga kesejahteraannya sama seperti menjaga diri sendiri,” ujar Roy.
“Saya cuba berkongsi cara pemikiran ini dengan Tara.
“Ia bukan tentang meniru gaya tertentu, tetapi lebih kepada membantu beliau berfikir, merasakan dan menunggang dengan empati.
“Saya mahu beliau membangunkan gaya cara sendiri, dengan asas kukuh dan rasa hormat terhadap kuda.”
Tahap kepekaan terhadap emosi kuda juga jelas terlihat melalui Tara.
“Sangat penting untuk kekal sihat dan tenang kerana kuda boleh merasakannya.
“Jika kita rasa cemas, kuda juga akan cemas,” katanya.
“Lebih banyak kita menunggang, lebih banyak kita kenali keperibadian kuda itu.
“Malah bukan hanya ketika menunggang, tetapi juga semasa kita memberi makan atau meluangkan masa bersama.
“Kuda tidak boleh bercakap, jadi kita perlu faham isyarat tubuh dan perwatakan mereka,” kata Roy lagi.
Namun, perjalanan ini tidak mudah.
Tara pernah berdepan detik sukar apabila kuda yang sering dinaikinya mengalami kecederaan.
“Ia agak sukar kerana setelah sekian lama bersama, tiba-tiba kuda saya cedera.
“Kita terpaksa mula semula dari bawah,” katanya.
Namun, sokongan daripada STC, Sport Singapore, serta jurulatihnya menjadi tiang kekuatan yang mendorong Tara untuk terus maju.
“Dapat mewakili Singapura sudah menjadi satu pencapaian besar buat saya,” kata Tara.
“Sudah tentu saya mahu menang pingat dan saya percaya kami sepasukan boleh melakukannya, tetapi kami perlu berada di tahap terbaik kerana lawan kami sangat berpengalaman,” katanya penuh tekad.
Tara berharap perjalanan mereka bukan sahaja membuahkan hasil di pentas antarabangsa, tetapi juga menjadi inspirasi buat generasi muda yang ingin mengejar impian mereka.
“Saya cuma berharap kami dapat membuat Singapura bangga.
“Sekarang, kami bukan hanya berjuang untuk diri sendiri, malah kami memikul nama negara,” katanya.
“
Dapat mewakili Singapura sudah menjadi satu pencapaian besar buat saya... Saya cuma berharap kami dapat membuat Singapura bangga. Sekarang, kami bukan hanya berjuang untuk diri sendiri, malah kami memikul nama negara.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg