JOHOR BAHRU: Pada hari bekerja, usahawan e-dagang Singapura, Encik Iylia Kwan, memandu kereta Toyota Corolla Altis miliknya yang luas dan boleh dipercayai untuk perjalanan biasa dari rumah keluarganya di Yishun.
Namun, apabila tiba hujung minggu, lelaki bujang berusia 36 tahun itu yang menyewa rumah berkembar di bandar Pasir Gudang – sekitar setengah jam memandu dari Johor Bahru – mengemudi lebuh raya panjang berliku dan laluan luar jalan raya di Malaysia dengan sebuah SUV Porsche Cayenne 4.8 liter yang berdaftar di Malaysia.
“Ramai mungkin kata, ‘Oh itu bukan Porsche Singapura’, tapi Porsche tetap Porsche, dan saya memang sudah lama mahu memilikinya,” kata Encik Kwan, sambil menyatakan peluang memandu dan membeli kereta mewah di Malaysia merupakan satu keseronokan mampu milik yang sukar ditolak baginya.
Pada 2022, beliau membeli sebuah Porsche Cayenne terpakai model 2009 dengan harga RM50,000 ($15,000). Model terpakai serupa berharga lebih daripada $60,000 di Singapura, termasuk kos Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
SUV Cayenne yang dikuasakan enjin V8 itu bukan satu-satunya kereta mewah yang beliau miliki.
Sempena hari jadinya tahun ini (2025), Encik Kwan membeli sebuah Mercedes-Benz E-Class berdaftar di Malaysia dengan nombor pendaftaran yang memaparkan tahun kelahiran dan umur beliau, lapor The Straits Times (ST).
Encik Kwan adalah antara sebilangan kecil rakyat Singapura yang merealisasikan impian mereka memandu pada hujung minggu dengan membeli kereta sport dan mewah di Malaysia – pembelian yang sangat mahal jika dibuat di Kota Singa.
Jumlah rakyat Singapura mengikut trend sedemikian juga semakin meningkat.
Ini adalah trend pasca pandemik, yang menurut pemerhati industri dan mereka yang terlibat, berpunca daripada harga COE yang sangat tinggi di Singapura serta usaha negara ini ke arah masyarakat “kurang bergantung kepada kereta”.
Beberapa pemilik kereta berkata mereka turut menyewa rumah berhalaman atau “menyewa” tempat letak kereta bermusim di kondominium Johor Bahru dengan harga antara RM200 dengan RM400 sebulan untuk ruang meletakkan kenderaan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Dengan harga COE di Singapura yang terus meningkat sejak Covid-19 bermula, tidak hairanlah sebahagian peminat kereta memilih untuk memenuhi impian memandu mereka di seberang Tambak tanpa membelanjakan jumlah yang besar.
Walaupun Encik Kwan tidak dibenarkan memandu Porsche atau Mercedes beliau di Singapura mengikut undang-undang tempatan, beliau tidak risau mengenai perkara itu.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), warga Singapura, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang tidak dibenarkan “menyimpan atau menggunakan” kenderaan berdaftar luar negara di Singapura.
Di Singapura, harga COE – iaitu permit wajib yang mesti dibayar di samping harga kenderaan sebenar dengan pemilikan selama 10 tahun – boleh memberi kesan besar kepada kos keseluruhan sebuah kereta.
Harga COE, yang ditentukan melalui proses bidaan dua kali sebulan, boleh mencecah 50 peratus atau lebih daripada harga jualan kenderaan, terutama bagi model lebih besar dan berprestasi tinggi.
Pada Oktober 2023, harga COE mencatat rekod tertinggi, dengan premium bagi kereta kecil mencapai $106,000 manakala kategori Terbuka mencecah $158,004.
Warga asing dibenarkan memiliki kenderaan berdaftar Malaysia, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Encik Aedy Fadly Ramli, dalam wawancara bersama ST baru-baru ini, sambil menjelaskan bahawa prosesnya hampir sama dengan proses yang dilalui warganegara.
Menurut laman web JPJ, pemilikan boleh didaftarkan secara fizikal di mana-mana kaunter JPJ, bersama pasport, dan perlu menjalani pengesahan cap jari biometrik.
Warga Malaysia dan PR pula boleh melakukan proses ini secara dalam talian melalui portal mySIKAP.
Selain itu, kenderaan terpakai perlu menjalani pemeriksaan wajib sebelum pemilikan ditukar.
Di bawah undang-undang jalan raya Malaysia, rakyat Singapura dengan lesen memandu keluaran Singapura dibenarkan secara sah untuk memandu di Malaysia.
Kenderaan berdaftar Malaysia pula mesti mempunyai cukai jalan dan sekurang-kurangnya insurans pihak ketiga yang sah untuk digunakan di jalan raya.
Penjual kereta di Johor berkata ramai warga asing, termasuk rakyat Singapura, lazimnya membuat pembayaran bagi kereta baru atau terpakai mereka secara penuh.
Kereta buatan Malaysia seperti Proton Wira keluaran 1990-an boleh didapati serendah RM2,500 di pasaran terpakai, manakala SUV keluarga popular seperti Honda CR-V model 2013 yang dipasang di Thailand bermula dengan harga sekitar RM31,000.
“Sebuah BMW 3 Series 330e 2018, yang popular dalam kalangan pelanggan saya dari Singapura, boleh dibeli dengan harga sekitar RM80,000,” kata Encik Luis Pradeeb, penasihat jualan Sime Darby Auto Selection di Johor yang pakar dalam kereta terpakai buatan Continental dan BMW baru.
Model terpakai yang sama di Singapura pula dijual dengan harga bermula sekitar $71,000, termasuk COE.
“Saya menjual enam buah kereta kepada rakyat Singapura antara Januari dengan Mei 2025, berbanding lapan buah sepanjang 2024,” tambah beliau.
Pakar industri menasihatkan rakyat Singapura yang berhasrat membeli kereta di Malaysia supaya memastikan semua urusan dilakukan dengan betul dan mengikut peraturan.
Penganalisis dan pengasas badan pemikir pengangkutan MY Mobility Vision, Encik Wan Agyl Wan Hassan, menegaskan bahawa tuntutan insurans boleh menjadi rumit sekiranya kenderaan tidak didaftarkan dengan betul.
“Memiliki kereta di seberang Tambak mungkin nampak sebagai pilihan lebih bijak dan menjimatkan, tetapi anda bukan sekadar membeli kereta – anda juga membeli tanggungjawab rentas sempadan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg