Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguatkuasaan VEP: Proses imigresen di JB lancar walau pemeriksaan dijalankan

Tiada saman, halangan bagi pemandu S’pura yang punya permit VEP sah
Jul 1, 2025 | 6:29 PM
VEP, kereta S’pura, Tambak Johor
Koresponden Berita Harian (BH), Encik Anwar Saleh, berkongsi pengalaman memandu ke Johor Bahru melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor pada hari pertama penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP). - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Mudah, pantas dan tiada sebarang halangan.

Demikian pengalaman saya tatkala memandu masuk ke Johor Bahru, Malaysia, pada 1 Julai – hari pertama penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) – dari pusat imigresen Woodlands.

Pada mulanya, saya berasa bimbang sama ada akan ditahan atau disaman setelah tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor meskipun saya telah mendaftar dan mengaktifkan VEP saya.

Ini kerana saya belum pasti sama ada Tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) VEP yang telah saya pasang dan mengaktifkan dengan sendiri sejak Oktober 2024 dapat dikesan dengan betul setibanya saya di pusat imigresen itu.

Pada 4 Jun, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, telah mengumumkan bahawa pemilik kenderaan asing, termasuk rakyat Singapura, yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP akan dikenakan saman mulai 1 Julai.

Kenderaan yang tidak memiliki VEP sah akan dikenakan tindakan saman sebanyak RM300 ($91) dan pemiliknya diwajibkan membayar saman serta mendaftar VEP sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.

Ini khusus bagi pemilik kenderaan asing, termasuk pemandu Singapura, yang memasuki Malaysia daripada kededua sempadan darat Malaysia-Singapura iaitu di Tambak Johor dan Linkedua.

Penguatkuasaan penuh VEP pada 1 Julai, kata Encik Loke, dilakukan selepas tempoh pelaksanaan secara berfasa sejak Oktober 2024.

Beliau berkata penguatkuasaan itu penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang melibatkan kemasukan kenderaan asing ke Malaysia.

Semasa merentas Tambak Johor sekitar 11 pagi pada 1 Julai, saya mendapati proses imigresen di CIQ BSI, termasuk pengesanan VEP, agak mudah, pantas dan berlangsung tanpa sebarang kegenjotan.

Setibanya di CIQ BSI, sistem VEP mengesan tag RFID kereta, dan memotong RM20 ($6.06) daripada akaun e-dompet Touch n Go yang telah dipautkan dengan RFID VEP tersebut.

Ini bermakna saya tidak lagi perlu menggunakan kad Touch n Go secara fizikal.

Selain saya, beberapa warga Singapura yang memandu masuk ke Johor Bahru pada pagi itu juga berkata mereka melalui pengalaman yang sama tatkala ditemui Berita Harian (BH) berhampiran kawasan Bpoint Johor Bahru yang terletak berdekatan CIQ BSI.

Cik Nurshakina Dolpatah, 35 tahun, yang memasuki Johor Bahru bersama suaminya, Encik Muhammad Amirul Azman, 39 tahun, berkata proses pengesanan VEP dan imigresen bagi kereta mereka berjalan dengan lancar.

Kededua pasangan suami isteri itu, yang kerap masuk Johor Bahru untuk berbelanja, telah mendaftar dan mengaktifkan VEP mereka sejak 2024.

“Setakat ini, semuanya lancar. Cuma tadi ada sedikit kesesakan di antara Malaysia dengan Singapura. Tapi secara keseluruhan, tiada masalah. Semuanya macam biasa. Proses (imigresennya) mudah.

“Dengan sistem VEP, dompet elektronik dah diisi. Jadi kita hanya perlu lalu (masuk) saja – tak perlu sentuh atau imbas (kad Touch n Go) secara manual.

“Kalau dah daftar VEP, jangan risau. Teruskan saja (masuk Johor Bahru),” kata Cik Nurshakina.

Cik Nurshakina Dolpatah yang memasuki Johor Bahru bersama suaminya, Encik Muhammad Amirul Azman, berkata proses pengesanan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dan imigresen bagi kereta mereka berjalan dengan lancar.
Cik Nurshakina Dolpatah yang memasuki Johor Bahru bersama suaminya, Encik Muhammad Amirul Azman, berkata proses pengesanan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dan imigresen bagi kereta mereka berjalan dengan lancar. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Satu lagi pasangan suami isteri yang ditemui BH, Encik Azmie Pathir, 54 tahun, dan Cik Aminah Awang, 52 tahun, berkata mereka tidak mengalami sebarang halangan semasa di CIQ BSI.

Pada mulanya, memandangkan VEP akan dikuatkuasakan, mereka telah menjangkakan melalui pemeriksaan oleh pihak penguasa meskipun telah mendaftar dan mengaktifkan VEP mereka sejak 2024.

“Bila saya masuk, tak ada apa-apa isu besar cuma kesesakan lalu lintas seperti biasa. Cuma ambil sedikit masa di kaunter pasport saja.

“Di bahagian Johor pun tak ada masalah. Saya guna kad Touch n Go macam biasa... tak ada pemeriksaan lanjut. Masuk je terus, tiada halangan... tiada isu,” kata Encik Azmie.

Encik Azmie Pathir dan isterinya, Cik Aminah Awang, berkata mereka tidak mengalami  sebarang halangan atau masalah semasa memasuki Johor Bahru melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor pada 1 Julai.
Encik Azmie Pathir dan isterinya, Cik Aminah Awang, berkata mereka tidak mengalami sebarang halangan atau masalah semasa memasuki Johor Bahru melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor pada 1 Julai. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Sekurang-kurangnya 10 pemandu dari Singapura disaman dalam tempoh sejam pertama VEP dikuat kuasa. JPJ juga telah menyediakan saluran pembayaran saman melalui kaunter JPJ, unit bergerak atau secara dalam talian menerusi wadah MyEG.

Bagi warga Singapura seperti Encik Marion Muhammad Redza, 42 tahun, yang telah mendaftar dan mengaktifkan VEP kenderaannya, mereka tidak perlu bimbang.

Encik Marion, yang memasuki Johor Bahru bersama isterinya untuk membeli-belah dan makan, berkata proses imigresen berjalan lancar dan tiada masalah.

“Alhamdulillah, tadi masa masuk trafik pun agak lancar sebab saya dah daftar VEP lebih awal. Cuma tadi ada sesak sedikit di Koswe.

“Sejak pihak Malaysia maklumkan kepada rakyat Singapura bahawa kita perlu daftar VEP, saya terus buat. Dan sejak itu, setiap kali masuk ke Johor Bahru memang tiada isu,” kata Encik Marion.

Bagi rakyat Singapura yang masih bimbang sama ada VEP mereka telah diaktifkan, Encik Marion menasihatkan:

“Semak aplikasi anda, pastikan semua dokumen sudah dihantar. Pastikan anda juga sudah terima e-mel pengesahan”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg