Bilangan rakyat Singapura pertengahan kerjaya yang mengikuti kursus berkaitan pekerjaan telah meningkat sekitar 20 peratus, daripada 95,000 orang pada 2023 kepada 112,000 orang pada 2024.
Sementara itu, dalam kalangan 14,000 individu yang telah mendaftar dalam Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP), 54 peratus daripada mereka telah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan latihan mereka.
Menurut SkillsFuture Singapura (SSG) dalam satu kenyataan media pada 8 April, jumlah kursus SCTP telah meningkat daripada 179 kursus pada 2023, kepada 239 kursus pada 2024.
Bercakap kepada pihak media selepas membentangkan perkembangan terkini tahunan agensi itu pada 8 April, Ketua Eksekutif SSG, Encik Tan Kok Yam, menjelaskan peningkatan dalam bilangan orang yang menyertai program disokong SSG itu disebabkan oleh penglibatan majikan yang lebih kukuh, kewujudan kursus relevan dan mutu yang lebih baik, serta akses yang lebih luas melalui peningkatan dasar seperti tokokan Kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya).
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat positif kerana pertama sekali, ia menunjukkan majikan melabur dalam pekerja mereka, dan kedua, majikan mendapati kursus-kursus ini terkait dengan keperluan pekerja.
“Dengan maklum balas ini, SSG akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan lebih banyak kursus sedemikian untuk rakyat Singapura, bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja,” kata beliau.
Seperti diumumkan di Belanjawan 2024, rakyat Singapura berusia 40 tahun dan ke atas menerima tokokan sebanyak $4,000 ke dalam Kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya) bermula Mei 2024.
Sementara itu, 2024 juga menyaksikan lebih ramai majikan yang menyokong pekerja mereka untuk menjalani latihan yang disokong SSG, dengan 24,000 syarikat telah menghantar 241,000 pekerja untuk latihan sedemikian.
Daripada jumlah tersebut, 95 peratus daripada mereka merupakan syarikat perniagaan kecil dan sederhana (SME).
Ini berbanding dengan 23,000 syarikat yang telah menghantar 228,000 pekerja pada 2023.
Secara keseluruhan, jumlah pelajar yang menyertai latihan yang disokong SSG meningkat daripada sekitar 520,000 orang pada 2023, kepada 555,000 orang pada 2024.
SSG turut mendapati kenaikan dalam bilangan pelajar yang mengikuti kursus berkaitan teknologi maklumat (IT), daripada 34,000 orang pada 2023 kepada 96,000 orang pada 2024.
Encik Tan menambah kenaikan penyertaan kursus yang merangkumi bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), keselamatan siber dan pemasaran digital, itu sebahagiannya didorong oleh kepelbagaian aplikasi IT dalam pelbagai sektor, serta kadar perubahan pesat dalam bidang itu sendiri.
Dalam usaha memadankan pekerja dengan latihan yang sesuai untuk meningkatkan prospek kerjaya mereka, beliau menekankan SSG berusaha menyediakan maklumat relevan dan terkini kepada setiap individu, agar mereka dapat membuat pilihan latihan terbaik.
“Kami sering mendengar maklum balas mengenai banyaknya kursus dan pilihan latihan yang boleh diperolehi, dan kami bersetuju ia boleh mengelirukan dan sukar untuk membuat pilihan.
“Kami ingin, sedaya mungkin, memberikan semua maklumat yang relevan kepada individu, supaya mereka dapat membuat pilihan latihan yang terbaik untuk diri mereka, pilihan latihan yang membolehkan mereka meningkatkan kesihatan kerjaya mereka… dan memberikan lebih banyak pilihan pada masa hadapan,” kata Encik Tan.
Pada 2024, seramai 260,000 rakyat Singapura menggunakan Kredit SkillsFuture mereka.
Daripada jumlah ini, 28,000 rakyat Singapura telah memanfaatkan Kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya).
“
“Kami sering mendengar maklum balas mengenai banyaknya kursus dan pilihan latihan yang boleh diperolehi, dan kami bersetuju ia boleh mengelirukan dan sukar untuk membuat pilihan. Kami ingin, sedaya mungkin, memberikan semua maklumat yang relevan kepada individu, supaya mereka dapat membuat pilihan latihan yang terbaik untuk diri mereka, pilihan latihan yang membolehkan mereka meningkatkan kesihatan kerjaya mereka… dan memberikan lebih banyak pilihan pada masa hadapan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg