Peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), kemajuan pesat teknologi dan ketidaktentuan global akan mencorak semula pekerjaan, kemahiran dan operasi perniagaan kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Bagi mempersiapkan diri untuk trend sebegini, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menjalankan tiga peralihan strategik, kata Dr Tan.
MOM juga akan melakukan lebih banyak lagi usaha memperkasa tenaga kerja bagi membolehkan mereka meraih peluang pekerjaan yang baik, sambil membangun tempat kerja yang berdaya maju dan memperkukuh kepercayaan dengan kededua pekerja dan perniagaan.
Ini dijelaskan Dr Tan pada majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-70 MOM di Hotel Shangri-La Singapore, pada 5 April.
Apabila tenaga kerja Singapura menjadi lebih berpendidikan, beliau berkata gangguan teknologi dan persaingan global akan “mencipta kebimbangan baru”.
Bagi mengurangkan kebimbangan ini, Program Penukaran Kerjaya dan Program Penyerapan Pasaran Luar Negara adalah contoh pendekatan proaktif MOM dalam menyokong dan memperkasa pekerja, malahan, sebelum mereka menghadapi kesulitan pekerjaan.
“Bagi mereka yang diuji dengan cabaran dalam perjalanan pekerjaan mereka, kami telah memperkenalkan Skim Bantuan Pencari Kerja Skillsfuture untuk menggalak dan memberi motivasi kepada mereka untuk mencari pekerjaan yang sesuai,” tambahnya.
“Persiapan sedang dijalankan. Kami akan melancarkannya pada pertengahan bulan (April) ini,” katanya.
Dr Tan menambah: “Kami sentiasa berfikir ke hadapan - kerana satu dekad dari sekarang, saya benar-benar percaya dunia pekerjaan akan terasa sangat berbeza.”
Dalam ekonomi global di mana persaingan untuk bakat amat sengit, beliau menegaskan tenaga kerja mesti menjadi satu “strategi serangan”.
“Ke mana bakat pergi, perniagaan akan mengikutinya. Di mana bakat berkembang, pelaburan akan mengalir. Dan di mana terdapat pertumbuhan, bakat bukan hanya disemai tetapi ditanam,” katanya.
“Kita sentiasa boleh melakukan lebih banyak lagi, dan kita sentiasa boleh melakukan dengan lebih baik. Tetapi saya percaya kita boleh berbangga dengan apa yang telah kita capai sepanjang tujuh dekad yang lalu.”
MOM perlu memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja kukuh tetapi juga merangkumi semua dengan mewujudkan peluang untuk semua rakyat Singapura mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi melalui pekerjaan yang baik.
Dr Tan berkata menjelang 2030, kira-kira satu daripada empat warganegara akan berumur 65 tahun dan ke atas.
“Lebih ramai daripada mereka perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga keluarga. Itulah sebabnya MOM telah bekerjasama dengan majikan untuk mengamalkan aturan kerja yang fleksibel,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg